Wednesday, February 29, 2012

Friday, February 10, 2012

Sambutan Maulidur Rasul 1433



Panitia Pendidikan Islam
hari ini telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Bertam Indah 2012. Majlis yang dimulakan pada jam 7.40 pagi dimulakan dengan Bacaan Yasin Perdana yang dipimpin oleh Us. Aswad Ahmad dan Us. Zamzuri Daud. Majlis diserikan lagi dengan alunan salam dan selawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.

Seterusnya majlis diteruskan dengan perarakan perdana yang disertai oleh semua murid tahap 2. Perarakan yang turut diiringi guru-guru SKBI merentasi jalan-jalan sekitar Taman Bertam Indah sejauh 2.5 km. Bagi murid tahap 1, mereka dikumpulkan di ruang legar bagi acara dewan seperti kuiz, nasyid, qasidah dan tayangan video pilihan.

Selepas rehat kesemua murid kembali ke kelas masing-masing untuk menyertai aktiviti mewarna. Pemenang dalam kesemua acara yang dijalankan akan menerima hadiah pada hari Isnin depan.

Saturday, February 4, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433



ESOK umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun, tujuan Maulidur Rasul bukanlah untuk mengingati keputeranaan baginda semata-mata tetapi perkara paling penting ialah ingatan dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mestilah dizahirkan dalam bentuk mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi yang mulia itu. Nabi Muhammad SAW adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu.

Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda.

Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri).

Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah.

Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masrakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial.

Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya.

Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah.

Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21)

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive