Wednesday, March 31, 2010

JOM PI EKSPO !!!

LATIHAN KOMPANG - KELAB j-QAF


Ahli persatuan ceria ketika mengadakan latihan kompang

Rabu 31 Mac 2010 Bertempat di Darul Bisyarah, ahli Persatuan Pendidikan Islam / j-QAF telah berlatih cara bermain kompang selama hampir 1 jam 30 minit. Latihan ini diadakan sebagai salah satu aktiviti yang dijalankan di bawah persatuan di samping mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan di dalam pertandingan kompang formasi.


Ustaz Zamzuri sedang menunjuk cara mengetuk kompang dengan betul


Murid perempuan juga tidak ketinggalan untuk mengikuti latihan ini


Tekun memerhatikan cara bermain kompang


Ust Normah turut serta dalam mengajar cara bermain kompang

Saturday, March 27, 2010

KBS 1 (TAHUN 6)


Ketua Panitia Pendidikan Islam sedang menyampaikan taklimat KBS

Jumaat 26 Mac 2010 Sejak jam 2.15 petang tadi, seramai 207 murid-murid tahun 6 telah berkumpul di SKBI untuk menyertai Kem Bestari Solat Kali Pertama bagi tahun 2010. Program yang dijalankan di bawah Panitia Pendidikan Islam ini telah dirasmikan oleh Pn. Guru Besar, Hjh. Halimatun Saadiah bt Said. Menurut beliau, KBS adalah satu program penting yang harus disertai oleh semua murid kerana ia adalah medan untuk mereka menimba ilmu dan mempelajari ibadat khususnya solat yang menjadi tonggak agama. Dalam pada itu, murid-murid tahun 6 juga amat bertuah kerana telah terpilih untuk menyertai kem kali ini kerana ia adalah KBS yang ke 21 sejak mereka menyertainya pada tahun 2005 semasa masih di tahun 1. Pada kali ini murid-murid diajar dengan beberapa persoalan di dalam solat seperti masbuq dan muafiq.

Kem yang berlangsung pada kali ini mempunyai sedikit kelainan kerana ia berjalan serentak bersama program lain iaitu majlis motivasi dan qiamullail bersama Unit Kaunseling. Sebaik selesai kira-kira jam 6.30 petang, murid-murid bersiap sedia untuk solat maghrib di Masjid al-Taqwa, Taman Bertam Indah seterusnya mendengar motivasi yang disampaikan oleh Us. Abdullah Khairi b. Hj. Haroon.

Setakat entri ini ditulis, semua murid-murid telahpun tidur di bilik-bilik yang disediakan di sekolah. Pada jam 4.30 pagi nanti, mereka akan bangun untuk mendirikan qiamullail yang akan dipimpin oleh Us. Muhd. Haniff (Imam Masjid al-Badawi, K. Batas). Program ini dijangka akan berakhir pada jam 8.00 pagi esok selepas murid-murid menyertai riadah dan senaman serta sarapan pagi.



Friday, March 12, 2010

MAULIDUR RASUL 2010


Murid-murid SKBI sedang mengalunkan selawat bersama-sama

Jumaat 12 Mac 2010 Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Bertam Indah pada hari ini. Seawal jam 7.40 pagi, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Us. Aswad b. Ahmad dan disusuli dengan alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dipimpin oleh Us. Sabri b. Haniff.

Sejurus selepas itu, semua murid tahap dua terus bergerak ke ruang legar untuk sesi seterusnya iaitu ceramah yang telah disampaikan oleh Us. Muhd. Haniff (imam Masjid Jami' al-Badawi, Kepala Batas). Sementara itu murid-murid tahap satu pula bergerak ke bilik-bilik khas untuk menonton tayangan video "Muhammad Utusan Terakhir". Tayangan video yang memakan masa hampir 1 jam 1/2 itu diakhiri dengan acara kuiz.

Untuk tahap dua, sesi ceramah dimulakan dengan bacaan tilawah al-Quran oleh adik Muhammad Farwiz b. Abdul Halim dan diakhiri juga dengan acara kuiz. Apa yang menarik, pada tahun ini Panitia Pendidikan Islam telah mewujudkan satu anugerah* yang dinamakan "Anugerah Suria Gemilang" . Anugerah yang julung-julung kali diadakan ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid yang berjaya dalam pelajaran. Menurut panel penilai, murid-murid berkenaan bukan sahaja dinilai dari segi akademik sahaja malah aspek sahsiah, penampilan, budi bahasa dan sumbangan dalam kokurikulum pendidikan islam juga turut diambil kira.

*Penerima Anugerah Suria Gemilang :

1. Muhammad Hafiz Halmizam (6 Mutiara)
2. Noor Eza Syazwana Elias (6 Berlian)


Bacaan tilawah al-Quran oleh Muhd. Farwiz


Murid-murid tahap 2 sedang mendengar ceramah


Murid prasekolah dan tahun 1 menonton video di Darul Bisyarah (surau)


Murid tahun 2 di Makmal j-QAF


Murid tahun 3 di bilik muzik


Adik Haziq Fikrey daripada kelas 3 Berlian menerima hadiah daripada Pn. Marini bt. Abdul Rashid dalam acara kuiz


Adik Anis daripada 3 Berlian turut menerima hadiah


Muhd. Farwiz menerima saguhati daripada Ketua Panitia Pendidikan Islam, Pn. Sharifah bt. Yahya (Pn. Sharifah adalah ibunya...)

Wednesday, March 10, 2010

TAYANGAN CD SEMPENA MAULIDUR RASUL SKBI

Filem* animasi 90 minit ini menceritakan kisah hidup junjungan besar, Nabi Muhammad SAW serta usaha-usaha dan cabaran yang ditempuhi Baginda dalam menegakkan syiar Islam.

Kisah ini berkisar tentang suasana bumi Mekah 14 abad yang lalu (kira-kira 1400 tahun) yang diperintah oleh kaum jahiliyyah Quraish. Kaum Quraish mengamalkan gaya hidup yang sesat. Amalan berjudi, meminum arak, perhambaan, kepercayaan terhadap perkara-perkara tahyul, perbuatan syirik dan penyembahan berhala, penindasan terhadap kanak-kanak dan kaum wanita telah menjadi perkara biasa.

Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW telah dicatat dan dikumpulkan menjadi kitab suci Al-Quran yang kita gunakan pada hari ini sebagai panduan dan pedoman. Ajaran Baginda yang menjadi asas dalam setiap aspek kehidupan manusia telah membimbangkan pemimpin jahiliyyah Quraish. Lantaran itu, mereka berusaha menyekat penyebarannya dengan menggunakan pelbagai tipu helah dan muslihat termasuk menindas dan mengancam para pengikut Baginda. Oleh kerana kehidupan Baginda dan pengikutnya tidak lagi aman di Mekah, Baginda telah berhijrah ke Madinah. Di sana Baginda meneruskan perjuangan menyebarkan agama Islam.

Selepas itu, terjadi dua peperangan iaitu peperangan Badar dan Khandak yang menyaksikan kekalahan kaum Quraish sehingga Islam dapat bertapak di bumi Arab. Kepulangan Baginda ke Mekah selepas itu telah disambut dengan tangan terbuka. Dengan izin Allah, Mekah menjadi pusat kebangkitan Islam sehingga Islam tersebar ke serata pelusuk dunia.

*SABA ISLAMIC MEDIA SDN BHD : http.www.saba.com.my

SELAMAT MENONTON ...

BENGKEL KHAT - KELAB j-QAF


Bacaan Asmaul Husna sebelum memulakan aktiviti kokurikulum

Kelab j-QAF ataupun sekarang dikenali sebagai Persatuan Agama Islam / j-QAF telah menjalankan aktiviti kokurikulum pada hari ini dengan mengadakan bengkel seni khat. Tujuannya adalah untuk menyemai minat murid terhadap seni penulisan khat di samping dapat memperbaiki tulisan mereka.

Menurut guru penasihatnya Ustz. Normah bt. Samsudin, bengkel seperti ini akan diadakan lagi pada sesi akan datang memandangkan sambutan yang diterima daripada ahli amat memberangsangkan. Walaupun masa yang diberikan untuk menulis hanya satu jam, semua ahli dapat menulis khat dengan baik sekalipun pada asasnya mereka baru sahaja mempelajari teknik dan cara-cara menulis secara ringkas.

Menurutnya lagi, pada sesi akan datang beliau akan merancang aktiviti yang lebih menarik dalam bengkel ini bersama guru-guru lain seperti mewarna tulisan khat, memotong dan menampalnya pada kertas hiasan atau sebagainya.



Ustazah Normah sedang mengajar cara-cara menulis dan menggunakan
pen dengan betul



M. Farwiz daripada 6 Mutiara sedang tekun menulis khat


Hasyirol (5 Berlian) dan Mirza (6 Berlian)


Akmal Rizal (5 Zamrud) sedang memerhatikan Amirul Khairi (5 Nilam) yang sedang menulis



Nurul Nasuha daripada 6 Mutiara sedang mendemontrasikan tulisannya


Masing-masing sedang menyiapkan tulisan sebelum dihantar


Antara hasil tulisan murid selepas hampir 1 jam 1/2 mengikuti bengkel khat

Tuesday, March 9, 2010

j-QAF DI SKBI




Program j-QAF secara rasminya telah bermula di SK Bertam Indah pada tahun 2005. Pada masa itu, seramai 3 orang guru telah dihantar untuk menjalankan program tersebut iaitu Pn. Norduriah bt. Mat Daud (UIA) dan Pn. Anisah bt. Ibrahim (UPM) bagi opsyen Pendidikan Islam serta En. Rasyiddin b. Mohd (UA) bagi opsyen Bahasa Arab.
Pada dasarnya, program yang merupakan cetusan idea YB. Tun Abdullah b. Hj. Ahmad Badawi ini telah dilancarkan di seluruh negara dengan penyertaan sebanyak 1,221 buah sekolah kebangsaan terpilih. Sasarannya adalah semua murid tahun 1 kohort 2005. Tujuan utama diperkenalkan adalah untuk memperkasakan bidang Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan di samping mendidik dan membimbing murid-murid dalam 4 bidang utama iaitu Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu 'Ain.

Pada tahun 2006, seorang lagi guru dihantar iaitu Pn. Siti Zabedah bt. Abdul Manan (UKM) bagi opsyen Pendidikan Islam. Pada 2007 pula, seorang lagi dihantar iaitu Pn. Azridarwati bt. Sahari (UPM) memandangkan program tersebut telah berada hingga ke tahun 3. Beliau mengajar dalam bidang Bahasa Arab.

Menyusul selepas itu ialah Pn. Tuan Khairyah bt. Mat (UIA) dalam opsyen Bahasa Arab dan En. Sabri b. Haniff (UIN SYAHID)* bagi opsyen Pendidikan Islam yang datang pada tahun 2008. Kemudian pada tahun 2009 pula, 3 orang iaitu En. Aswad b. Ahmad (KUIN), Cik Sakinah bt. Abdullah (UIA) dan Cik Sharihah bt. Mohd Bukhari (UKM) telah dihantar. Mereka kesemuanya mengajar di bawah opsyen Pendidikan Islam.

Pada tahun 2010, tiada lagi penghantaran guru dibuat oleh pihak KPM memandangkan kuota guru j-QAF untuk SKBI telah mencukupi. Namun begitu, seorang guru j-QAF (2006) iaitu Pn. Faizah bt. Elias daripada SK Bukit Kayu Hitam telah dihantar bagi menggantikan tempat Pn. Azridarwati yang bertukar ke sana.

*Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Allahu A'lam...

PKSR 1 (BAHASA ARAB TAHUN 3)


Murid-murid tahun 3 Mutiara sedang tekun menjawab soalan

Selasa 9hb. Mac 2010 Seramai 163 orang murid tahun 3 telah menduduki ujian PKSR 1 Bahasa Arab yang dijalankan pada jam 8.10 hingga 9.10 pagi ini. Mereka adalah murid-murid daripada kelas 3 Berlian, 3 Mutiara, 3 Delima dan 3 Nilam. Ujian tersebut yang dijalankan serentak di seluruh negara diadakan bagi mengetahui prestasi murid dalam mata pelajaran Bahasa Arab di samping mengumpul markah untuk Pelaporan j-QAF 6 Bulan Pertama nanti.

Ujian PKSR B. Arab yang telah diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 2007 sebenarnya telah melalui proses transformasi mulai tahun ini iaitu akan dijalankan sebanyak 4 kali setahun. Namun begitu, hanya murid tahun 3 sahaja yang terlibat. Bagi murid tahun 4, 5 dan 6 mereka akan menduduki ujian tersebut seperti biasa iaitu 2 kali setahun manakala murid tahun 1 dan 2 akan melalui proses seperti biasa iaitu Penilaian Berskala berdasarkan buku teks dan pemerhatian di samping ujian dan peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah.


Amir Hazim daripada kelas 3 Mutiara


Nur Afiqah dan Aisyah daripada kelas 3 Berlian


Nur Adriana Nadia dan Anis daripada kelas 3 Berlian


Ustazah Sunarti sedang menyemak kertas murid

Monday, March 8, 2010

KBS 1 (TAHUN 1)


Pn. Guru Besar menyampaikan ucapan penutupan dalam KBS baru-baru ini

Di setiap buah sekolah, bulan Mac merupakan bulan kemuncak bagi pelaksanaan Kem Bestari Solat (KBS) Kali Pertama. Tanggal 6 Mac 2010 merupakan permulaan KBS di SKBI. Seramai 117 orang murid tahun 1 telah terpilih menjadi peserta KBS ini dengan dijayakan oleh 7 orang guru GPI dan 10 orang guru j-QAF.

KBS pada kali ini dijalankan dengan modul yang berbentuk Explorace. Murid bergerak dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada 7 kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan melewati 3 stesen. Di stesen 1, murid akan mempelajari teknik dan amali wuduk. Manakala di stesen 2, murid dikehendaki menunjukkan perlakuan lafaz niat dan takbiratul ihram. Stesen terakhir iaitu stesen 3, murid akan mempelajari bacaan-bacaan dalam solat seperti bacaan ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Apa yang menyeronokkan, di akhir aktiviti Explorace ini murid-murid diberi ganjaran berupa coklat, wafer dan belon sebagai menghargai penyertaan mereka.

Hasil yang dapat diperolehi dari KBS 1 ini amat memberangsangkan. Ini kerana murid dapat menguasai pelbagai perkara dalam masa yang telah ditetapkan. Walaupun kebanyakan murid tahun 1 masih lemah dalam penguasaan bacaan dalam solat tetapi rata-ratanya telah mengetahui setiap perlakuan dalam solat dan berwuduk.



Sesi taklimat sebelum KBS bermula

Penerangan guru mengenai bacaan lafaz niat solat lima waktu

Tekun mendengar penerangan dan tunjuk ajar daripada guru

Menyemak bacaan kepada guru di stesen yang ditetapkan

Ketika di stesen 1 (amali wudu')
Antara guru SKBI yang turut membantu ketika waktu makan peserta
Para peserta bersalam-salaman sesama rakan dan guru selepas tamat KBS