Friday, July 10, 2015

Al-Quran, Kitab Yang Penuh Berkat

Membaca Al-Quran dan mentadabburinya, mendalami isinya dan merenungi kandungan ayat-ayatnya merupakan perkara yang dapat dijadikan cara untuk meraih kebahagian dan kelapangan hati. Allah menyifati kitabNya ini sebagai petunjuk, cahaya dan penawar penyakit atas semua yang ada di dalam dada. Di samping itu Allah juga menyifatinya sebagai rahmat.

Allah berfirman : ...sesungguhnya telah datang kepadamu sebuah pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada... (Yunus : 57)

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?
(Muhammad : 24)

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Kalau kiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.
(An-Nisa' : 82)

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) yang penuh dengan barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya..
(Sad : 29)

Sebahagian ulama mengatakan : "Allah akan memberi barakah kepada orang yang membacanya, melaksanakan ajaran-ajarannya, berhukum dengannya dan menggali hukum darinya."

Seorang hamba yang soleh berkata : "Aku pernah merasakan keresahan dan kegelisahan dan yang mengetahuinya hanya Allah, kemudian aku segera mengambil mushaf Al-Quran dan membacanya. Maka - demi Allah - kegelisahan ini secara tiba-tiba hilang. Allah menggantikan kekeruhan dengan perasaan gembira dan bahagia."

Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus...
(Al-Isra' : 9)

Dengan kitab itulah allah menunjuki orang yang mengikuti keredaanNya ke jalan keselamatan...
(Al-Ma'idah : 16)

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Qur'an) dengan perintah Kami...
 (Asy-Syura : 52)

(Sumber : http://jawi.gov.my/my/arkib-berita-2/arkibtazkirah/1601-al-quran-kitab-yang-penuh-berkat)

Friday, July 3, 2015

Perbaiki Akhlak Anda Di Hadapan Allah

William James mengatakan : "Tuhan memberikan keampunan atas kesalahan kita, namun organ saraf kita tidak pernah melakukan itu untuk selamanya."

Ibnu Al-Wazir dalam bukunya yang sangat terkenal, Al-'Awasim wa Al-Qawasim, mengatakan bahawa harapan terhadap rahmat Allah akan selalu membukakan pintu harapan bagi diri seorang hamba, akan menguatkannya untuk melakukan ketaatan dan membuatnya semakin berlumba-lumba dalam melakukan amalan-amalan sunnah dan bersegera untuk melakukan kebaikan.

Ini benar. Sebab tidak semua jiwa akan menjadi baik kecuali dengan mengingati rahmat, kekeampunan, menerima taubat dan kesabaran Allah. Kerana sikap Allah yang demikian baik, maka mereka pun mendekatkan diri kepadaNya dan berusaha keras untuk melakukan kebaikan.

Sematkan angan
hingga mencapai bintang keberkatan.
Jadikanlah kerdipan kelopak matamu
dalam kerdipan murah hati. 
Bila hati meragu, segera jelaskan kepadanya
bahawa di gugusan galaksi 
sinar terang menerpa pagi.
Bersiaplah
menghadapi waktu Duha selanjutnya.

(Sumber : http://jawi.gov.my/my/arkib-berita-2/arkibtazkirah/1758-perbaiki-akhlak-anda-di-hadapan-allah)

Friday, June 26, 2015

Sikap Pertengahan Membawa Keselamatan Dari Kebinasaan

Kesempurnaan kebahagiaan itu terdapat dalam tiga perkara :

1. Kesederhanaan dalam marah.
2. Kesederhanaan dalam syahwat.
3. Kesederhanaan dalam ilmu.

Itu bererti bahawa diperlukan sikap bersahaja agar kekuatan syahwat tidak semakin bertambah yang akan mendorongnya ke kedudukan hina dan dia hancur dengan sendirinya. Atau, agar kekuatan marah tidak semakin bertambah yang akan mendorongnya ke tahap tanpa dikawal dan akhirnya dia hancur.

Rasulullah S.A.W. sendiri pernah bersabda :
"Sebaik-baik urusan adalah pertengahan."
Jika dua kekuatan itu dalam keadaan sederhana dan dikendalikan oleh kekuatan ilmu, maka dia akan diarahkan ke jalan hidayah. Begitu pula halnya dengan emosi, apabila dibiarkan secara berlebihan tanpa dikendali, pelakunya akan mudah memukul, bahkan sampai membunuh. Namun ketika kekuatan marah ini terlalu lemah, maka akan hilang ghairah dan semangatnya dalam beragama dan menjalani hidup di dunia. Sedangkan, ketika marah itu dalam kesederhanaannya, maka yang akan muncul adalah kesabaran, keberanian dan himah. 

Demikian pula halnya dengan kekuatan syahwat. Jika kekuatan itu melebihi batas kewajarannya maka yang akan muncul adalah kefasiqan dan kekejian. Namun jika kekuatan itu tidak berdaya, maka yang akan muncul adalah sikap lemah. Sedangkan ketika kekuatan itu berada dalam kesederhanaannya maka yang akan lahir adalah kehormatan diri dan kepuasan.
Dalam sebuah hadis disebut : "Berpeganglah kalian pada sikap pertengahan (dalam segala sesuatu)."
Allah S.W.T. berfirman :

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kalian (wahai uamt Muhammadt) umat yang pertengahan...
(Al-Baqarah : 143)

(Sumber : http://jawi.gov.my/my/arkib-berita-2/arkibtazkirah/1756-sikap-pertengahan-membawa-keselamatan-dari-kebinasaan)


Friday, June 19, 2015

Berbuatlah Sesuatu Dan Hindari Kosong Dari Kegiatan

Dr. Richard Cabot seorang profesor kedoktoran di Univeristi Harvard mengatakan dalam bukunya yang berjudul How Humans Live : "Sebagai seorang doktor saya menasihatkan bahawa bekerja telah banyak mengubati orang yang menderita penyakit kelumpuhan jiwa yang diakibatkan oleh keraguan, rasa takut dan ketidakpastian. Keberanian yang diberikan kepada kita oleh kerja keras seperti kepercayaan diri yang membuat Emerson begitu hebat."

Allah S.W.T. berfirman :
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung...
(Al-Jumu'ah : 10)

George Bernard Shaw berkata : "Rahsia ketidakbahagiaan itu terletak dalam kesempatan yang diberikan kepada anda untuk berfikir dengan luas, apakah anda berada dalam keadaan bahagia atau tidak. Oleh sebab itu, jangan terlalu banyak berfikir tentang perkara itu. Sebaliknya, teruslah bekerja, kerana saat itu darah anda akan mulai mengalir dan otak anda mulai berfikir lagi. Kehidupan yang baru akan melenyapkan fikiran-fikiran itu dari otak anda. Bekerjalah dan jangan pernah berhenti. Kerana ini merupakan resepi yang paling murah yang pernah ada di muka bumi dan paling mujarab."

Allah S.W.T. berfirman :
Bekerjalah kamu nescaya Allah dan Rasulnya serta orang mukmin akan melihat pekerjaanmu...
(At-Taubah : 105)

Benjamin Disraeli mengatakan : "Kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan."
Salah seorang bijak bestari yang berasal dari negeri Arab mengatakan : "Kehidupan ini terlalu singkat untuk kita isi dengan perbalahan."

Allah S.W.T. berfirman :
"Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?" Mereka menjawab : "Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang yang menghitung." Allah berfirman : "Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu mengetahui."
(Al-Mukminun : 112-114)

(Sumber : http://jawi.gov.my/my/arkib-berita-2/arkibtazkirah/1763-berbuatlah-sesuatu-dan-hindari-kosong-dari-kegiatan)


Friday, May 16, 2014

Selamat Hari Guru 2014

"Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi"


Tuesday, October 1, 2013

LAWATAN BPI KE DARUL BISYARAH

SK Bertam Indah hari ini telah menerima kunjungan penanda arasan daripada pihak Bhgn. Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia sempena Pertandingan Surau Imarah Peringkat Kebangsaan 2013. Rombongan seramai 3 orang yang diiringi pegawai SPI, JPPP, Ustaz Rozali itu telah disambut oleh PK 1 SK Bertam Indah, En. Kamal b. Mohd Noor.

Lawatan ini telah berlangsung selama hampir 3 jam bermula pada 10 pagi. SK Bertam Indah yang mempertaruhkan Darul Bisyarah sebagai "surau paling diimarahkan" telah terpilih untuk mewakili Pulau Pinang ke pertandingan tersebut bagi kategori sekolah rendah.

Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan dan penayangan slaid berkaitan Darul Bisyarah oleh Pn. Normah Samsudin dan Pn. Sharifah Yahya di bilik mesyuarat SKBI. Sementara sesi pengulungan dan penerangan ringkas pula telah disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohd Zaki yang mengetuai rombongan. Kunjungan ini telah diakhiri dengan sesi lawatan ke Darul Bisyarah dan jamuan tengahari sebelum mereka semuanya bertolak ke daerah pulau untuk lawatan seterusnya.

(jqaf_skbi2003@yahoo.com)

Saturday, September 28, 2013

Tahniah SKBI

Pasukan Kuiz j-QAF SK Bertam Indah telah dinobatkan sebagai naib johan dalam Acara Kuiz j-QAF sempena Mahrajan j-QAF Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013. Bertempat di SK Desa Murni pada hari ini, pasukan murid perempuan tahun 5 yang dilatih oleh Pn. Normah Samsudin ini telah jauh meninggalkan pasukan gangsa namun hanya kalah tipis 2 mata dengan penyandang pingat emas.

Dalam pada itu, bertempat di USM, P. Pinang seorang lagi peserta tahun 6 adik Nurafiqah bt. Mohd Latiff (6 Berlian) juga telah mengharumkan nama SKBI apabila turut dinobatkan sebagai naib juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa anjuran bersama SK Mindent Height dan USM. Seramai 10 orang peserta dari seluruh negara dan beberapa negara jiran telah menyertainya. Berbekalkan kisah "Al-Waqtu Kaz-Zahab" (Masa Itu Emas) adik Nurafiqah berjaya mengondol tempat kedua walaupun hanya "diterjunkan khas" selama 3 hari untuk sesi latihan secara intensif seliaan ibunya Pn. Normah Samsudin.

Adik Nurafiqah merupakan peserta sulong SKBI yang telah menyertai pertandingan berprestij seumpamanya sejak j-QAF mula diperkenalkan pada 2005. Diharapkan ia menjadi pedoman dan dorongan kepada murid-murid lain untuk lebih mendekatkan diri dalam program-program j-QAF terutama bidang B. Arab. Tahniah diucapkan !

Saturday, July 6, 2013

KEMBARA 2013

KEDAH Seramai 40 murid SK Bertam Indah telah menyertai Kem Bina Juara B. Arab (KEMBARA) 2013 bertempat di Hotel Swiss Inn, Sungai Petani Kedah pada 28 hingga 30 Jun 2013. Seawal jam 2.30 petang, para peserta telah berkumpul di perkarangan sekolah sebelum bertolak ke sana.

Program KEMBARA yang dirancang di bawah peruntukan SBT itu telah mulakan pada jam 4.30 petang dengan slot "Ice Breaking" dan sesi taaruf dan dirasmikan oleh Guru Besar, Hjh. Halimatun Sa'adiah bt. Said. Di dalam slot "Ice Breaking" para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan dan dibimbing mengalunkan 3 buah lagu iaitu Lagu Negaraku, Untuk Negeri Kita dan lagu tema KEMBARA. Apa yang menarik, kesemua lagu tersebut dinyanyikan dalam versi B. Arab dan akan dialunkan setiap kali permulaan slot dan LDP (Latihan Dalam Kumpulan).

Modul yang digunakan di dalam KEMBARA ini digubal daripada Buku Teks B. Arab Tahun 3,4, dan 5 yang diselaraskan semula mengikut kehendak penganjur. Antara topik yang diajar adalah tatabahasa, ta'aruf, hiwar (perbualan), solat "Malaysia Gemilang" yang memperkenalkan murid-murid dengan nama-nama negeri dan ibukotanya dalam B. Arab, slot "Makanan Berkhasiat" yang menonjolkan nama buah-buahan dan sayur-sayuran dan slot karangan ringkas yang kesemuanya menekankan 4 kemahiran utama iaitu kemahiran mendengar, menutur, membaca dan menulis. Satu slot ujian telah dijalankan pada akhir kem bagi menilai dan menguji sejauh mana pencapaian dan penguasaan peserta dalam kesemua slot dan LDP yang dijalankan.

Satu sesi ceramah yang bertajuk "Indahnya Berbahasa Arab" juga telah diadakan pada hari ke-2 dengan menampilkan Ustaz Yusof bin Yaacob, Penolong Pangarah B. Arab dari Jabatan Pelajaran Pulau Pinang. Di akhir kem, para peserta diberikan tugasan terakir dalam aktiviti "Explorace" sebelum mereka kesemuanya beraksi dalam 3 pementasan dengan penampilan menarik dalam Boria B. Arab, Dikir Barat B. Arab dan Nasyid B. Arab.

Monday, June 17, 2013

Kem Bina Juara B. Arab (KEMBARA) 2013

28 hingga 30 Jun 2013
Jumaat - Ahad
Hotel Swiss Inn, Sg. Petani, Kedah

Pengenalan 

Kem Bina Juara (KEMBARA) Bahasa Arab j-QAF anjuran Panitia Bahasa Arab adalah suatu usaha untuk menggilap bakat dan potensi murid-murid cemerlang dalam Bahasa Arab. Kem ini akan menjadi asas melahirkan juara di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam masa yang sama kem ini juga dapat membentuk Murid Turus yang akan membantu guru di kelas untuk membimbing rakan sebaya. Kem ini dijalankan mengikut modul dan dilaksanakan di peringkat sekolah. Kem tersebut akan memberi tumpuan kepada modul yang dikendalikan oleh fasilitator atau guru-guru yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.

Objektif Umum

1. Memberi peluang kepada murid untuk memperkembangkan bakat melalui modul yang diperkenalkan.
2. Melahirkan murid yang mempunyai jati diri dan berketrampilan yang tinggi.
3. Mewujudkan semangat persaingan yang sihat di kalangan murid.
4. Melahirkan murid yang berpotensi dalam bidang yang diketengahkan.
5. Melatih murid-murid yang cemerlang mendalami pengetahuan dalam bidang yang dipelajari sebagai persediaan untuk menjadi juara.

Objektif Khusus

1. Melahirkan generasi yang cintakan Bahasa Arab.
2. Memantapkan kemahiran bertutur murid.
3. Membina keyakinan diri murid untuk berucap di khalayak ramai.
4. Meningkatkan kefasihan murid menyebut kalimah Bahasa Arab.
5. Melatih murid menyebut huruf-huruf dan perkataan-perkataan Bahasa  Arab dengan betul.


LAGU TEMA KEM BINA JUARA

Sunday, June 16, 2013

KEM TAHSIN AL-QURAN 2013

Sungai Petani 16 April 2013 Seramai 120 murid SK Bertam Indah telah menyertai dengan jayanya Kem Tahsin Al-Quran 2013 selama tiga hari bermula dari 14 Jun hingga 16 Jun 2013. Bertempat di Hotel Swiss Inn, program yang dianjurkan Panitia Pendidikan Islam ini telah berjaya mencungkil bakat murid dalam bidang al-Quran khususnya dalam slot tarannum.

Program yang bernaung di bawah peruntukan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini telah membariskan 16 orang fasilitator yang terdiri daripada kalangan guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF. Ia turut diserikan dengan kehadiran penceramah undangan iaitu Ustaz Mohd Hafizal Abu Hassan dari SK Pokok Sena dan Ustazah Norlia Saidin dari SMK Paya Keladi.

Di hari terakhir program, para peserta dikejutkan dengan kehadiran Tuan Pengarah JPN Pulau Pinang yang mengadakan tinjauan mesra program tersebut. Beliau dalam ucapan ringkasnya menerangkan betapa pentingnya murid-murid untuk menimba sebanyak mana ilmu yang boleh agar menjadi manusia yang mulia. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada barisan guru dan sekolah kerana berjaya menganjurkan program yang seumpama ini.

Thursday, October 25, 2012

Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan

Alhamdulillah, Pertandingan Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan Kali Pertama 2012 telahpun melabuhkan tirainya pada 23 Oktober yang lalu. Natijahnya, pasukan SKBI yang mewakili Pulau Pinang hanya mampu meraih saguhati dalam acara tersebut apabila terpaksa memberi laluan kepada kontijen Terengganu untuk melakar sejarah mendahului pasukan tuan rumah di tempat kedua dan Pahang di tempat ke-3.
Sebanyak 15 kontijen telah mempersembahkan Kalam Jama'ie masing-masing dengan penuh bertenaga dan mantap di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. Aspek persembahan, isi, gaya bahasa dan sebagainya telah dinilai dengan jayanya kerana ia merupakan aset utama dalam penentuan pemenang seterusnya akan menjadi "benchmark" di masa hadapan.
Apa yang menarik, pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini telah menempatkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang mempertaruhkan jantina dari kalangan lelaki. Fenomena ini telah menarik perhatian kontijen-kontijen negeri lain dan hampir-hampir mendapat jolokan "lelaki melayu terakhir".
Dalam pada itu, pertandingan ini turut diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Kali Ke-5. Seramai 10 orang murid dari kontijen Pulau Pinang diberikan penghormatan untuk bersama-sama pasukan jemputan dari negeri Johor berada di pentas utama mengetuai majlis khatam.


Ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat semua murid SKBI kerana telah memikul amanah dalam menggalas nama Pulau Pinang ke persada raya. Walaupun pulang dengan hanya sijil penyertaan, perjuangan kalian belum tamat kerana ia sebenarnya baru bermula. Terlalu banyak ilmu yang harus dipelajari, terlalu jauh jalan yang perlu ditempuhi dan terlalu tinggi puncak yang mahu didaki. Apapun, kalian telah mempamerkan satu persembahan yang baik. Cuma, rezeki masih bukan di tangan kita dek terdapat beberapa aspek dan teknik yang perlu diperhalusi dan diperbaiki di masa hadapan.
Ingatlah ! kalah dan menang adalah hukum dan lumrah pertandingan. Sesekali berasa diri dijulang apa salahnya kita diuji dengan satu kekalahan. Setidak-tidaknya perit dan hampanya pasukan lain menangisi kemenangan kita di peringkat negeri, telahpun dikongsi bersama oleh kita di peringkat ini.
Oleh itu, fikir-fikirkanlah.... 

*** Mewakili pihak pentadbiran SKBI, kesemua guru pengiring dan murid-murid Kalam Jama'ie SK Bertam Indah merakamkan segunung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Us. Azmi Abdul Hamid (Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) dan Us. Shuib Zainordin @ Zainuddin (Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) yang turut mengiringi rombongan pasukan ke negeri Johor dan mengatur kesemua sesi latihan pusat, pergerakan ahli, pakaian, jadual, penginapan dan sebagainya. Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua barisan hakim dan jurulatih negeri yang tidak jemu bersama sepanjang sesi latihan dijalankan. Moga jasa baik dan tunjuk ajar yang diberikan akan dinilai Allah sebagai amal yang diberkati dan diredhai. Amin...

(Gambar-gambar sekitar pertandingan akan diupload kemudian)