Thursday, October 25, 2012

Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan

Alhamdulillah, Pertandingan Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan Kali Pertama 2012 telahpun melabuhkan tirainya pada 23 Oktober yang lalu. Natijahnya, pasukan SKBI yang mewakili Pulau Pinang hanya mampu meraih saguhati dalam acara tersebut apabila terpaksa memberi laluan kepada kontijen Terengganu untuk melakar sejarah mendahului pasukan tuan rumah di tempat kedua dan Pahang di tempat ke-3.
Sebanyak 15 kontijen telah mempersembahkan Kalam Jama'ie masing-masing dengan penuh bertenaga dan mantap di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. Aspek persembahan, isi, gaya bahasa dan sebagainya telah dinilai dengan jayanya kerana ia merupakan aset utama dalam penentuan pemenang seterusnya akan menjadi "benchmark" di masa hadapan.
Apa yang menarik, pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini telah menempatkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang mempertaruhkan jantina dari kalangan lelaki. Fenomena ini telah menarik perhatian kontijen-kontijen negeri lain dan hampir-hampir mendapat jolokan "lelaki melayu terakhir".
Dalam pada itu, pertandingan ini turut diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Kali Ke-5. Seramai 10 orang murid dari kontijen Pulau Pinang diberikan penghormatan untuk bersama-sama pasukan jemputan dari negeri Johor berada di pentas utama mengetuai majlis khatam.


Ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat semua murid SKBI kerana telah memikul amanah dalam menggalas nama Pulau Pinang ke persada raya. Walaupun pulang dengan hanya sijil penyertaan, perjuangan kalian belum tamat kerana ia sebenarnya baru bermula. Terlalu banyak ilmu yang harus dipelajari, terlalu jauh jalan yang perlu ditempuhi dan terlalu tinggi puncak yang mahu didaki. Apapun, kalian telah mempamerkan satu persembahan yang baik. Cuma, rezeki masih bukan di tangan kita dek terdapat beberapa aspek dan teknik yang perlu diperhalusi dan diperbaiki di masa hadapan.
Ingatlah ! kalah dan menang adalah hukum dan lumrah pertandingan. Sesekali berasa diri dijulang apa salahnya kita diuji dengan satu kekalahan. Setidak-tidaknya perit dan hampanya pasukan lain menangisi kemenangan kita di peringkat negeri, telahpun dikongsi bersama oleh kita di peringkat ini.
Oleh itu, fikir-fikirkanlah.... 

*** Mewakili pihak pentadbiran SKBI, kesemua guru pengiring dan murid-murid Kalam Jama'ie SK Bertam Indah merakamkan segunung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Us. Azmi Abdul Hamid (Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) dan Us. Shuib Zainordin @ Zainuddin (Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) yang turut mengiringi rombongan pasukan ke negeri Johor dan mengatur kesemua sesi latihan pusat, pergerakan ahli, pakaian, jadual, penginapan dan sebagainya. Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua barisan hakim dan jurulatih negeri yang tidak jemu bersama sepanjang sesi latihan dijalankan. Moga jasa baik dan tunjuk ajar yang diberikan akan dinilai Allah sebagai amal yang diberkati dan diredhai. Amin...

(Gambar-gambar sekitar pertandingan akan diupload kemudian)