Tuesday, October 1, 2013

LAWATAN BPI KE DARUL BISYARAH

SK Bertam Indah hari ini telah menerima kunjungan penanda arasan daripada pihak Bhgn. Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia sempena Pertandingan Surau Imarah Peringkat Kebangsaan 2013. Rombongan seramai 3 orang yang diiringi pegawai SPI, JPPP, Ustaz Rozali itu telah disambut oleh PK 1 SK Bertam Indah, En. Kamal b. Mohd Noor.

Lawatan ini telah berlangsung selama hampir 3 jam bermula pada 10 pagi. SK Bertam Indah yang mempertaruhkan Darul Bisyarah sebagai "surau paling diimarahkan" telah terpilih untuk mewakili Pulau Pinang ke pertandingan tersebut bagi kategori sekolah rendah.

Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan dan penayangan slaid berkaitan Darul Bisyarah oleh Pn. Normah Samsudin dan Pn. Sharifah Yahya di bilik mesyuarat SKBI. Sementara sesi pengulungan dan penerangan ringkas pula telah disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohd Zaki yang mengetuai rombongan. Kunjungan ini telah diakhiri dengan sesi lawatan ke Darul Bisyarah dan jamuan tengahari sebelum mereka semuanya bertolak ke daerah pulau untuk lawatan seterusnya.

(jqaf_skbi2003@yahoo.com)

Saturday, September 28, 2013

Tahniah SKBI

Pasukan Kuiz j-QAF SK Bertam Indah telah dinobatkan sebagai naib johan dalam Acara Kuiz j-QAF sempena Mahrajan j-QAF Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013. Bertempat di SK Desa Murni pada hari ini, pasukan murid perempuan tahun 5 yang dilatih oleh Pn. Normah Samsudin ini telah jauh meninggalkan pasukan gangsa namun hanya kalah tipis 2 mata dengan penyandang pingat emas.

Dalam pada itu, bertempat di USM, P. Pinang seorang lagi peserta tahun 6 adik Nurafiqah bt. Mohd Latiff (6 Berlian) juga telah mengharumkan nama SKBI apabila turut dinobatkan sebagai naib juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa anjuran bersama SK Mindent Height dan USM. Seramai 10 orang peserta dari seluruh negara dan beberapa negara jiran telah menyertainya. Berbekalkan kisah "Al-Waqtu Kaz-Zahab" (Masa Itu Emas) adik Nurafiqah berjaya mengondol tempat kedua walaupun hanya "diterjunkan khas" selama 3 hari untuk sesi latihan secara intensif seliaan ibunya Pn. Normah Samsudin.

Adik Nurafiqah merupakan peserta sulong SKBI yang telah menyertai pertandingan berprestij seumpamanya sejak j-QAF mula diperkenalkan pada 2005. Diharapkan ia menjadi pedoman dan dorongan kepada murid-murid lain untuk lebih mendekatkan diri dalam program-program j-QAF terutama bidang B. Arab. Tahniah diucapkan !

Saturday, July 6, 2013

KEMBARA 2013

KEDAH Seramai 40 murid SK Bertam Indah telah menyertai Kem Bina Juara B. Arab (KEMBARA) 2013 bertempat di Hotel Swiss Inn, Sungai Petani Kedah pada 28 hingga 30 Jun 2013. Seawal jam 2.30 petang, para peserta telah berkumpul di perkarangan sekolah sebelum bertolak ke sana.

Program KEMBARA yang dirancang di bawah peruntukan SBT itu telah mulakan pada jam 4.30 petang dengan slot "Ice Breaking" dan sesi taaruf dan dirasmikan oleh Guru Besar, Hjh. Halimatun Sa'adiah bt. Said. Di dalam slot "Ice Breaking" para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan dan dibimbing mengalunkan 3 buah lagu iaitu Lagu Negaraku, Untuk Negeri Kita dan lagu tema KEMBARA. Apa yang menarik, kesemua lagu tersebut dinyanyikan dalam versi B. Arab dan akan dialunkan setiap kali permulaan slot dan LDP (Latihan Dalam Kumpulan).

Modul yang digunakan di dalam KEMBARA ini digubal daripada Buku Teks B. Arab Tahun 3,4, dan 5 yang diselaraskan semula mengikut kehendak penganjur. Antara topik yang diajar adalah tatabahasa, ta'aruf, hiwar (perbualan), solat "Malaysia Gemilang" yang memperkenalkan murid-murid dengan nama-nama negeri dan ibukotanya dalam B. Arab, slot "Makanan Berkhasiat" yang menonjolkan nama buah-buahan dan sayur-sayuran dan slot karangan ringkas yang kesemuanya menekankan 4 kemahiran utama iaitu kemahiran mendengar, menutur, membaca dan menulis. Satu slot ujian telah dijalankan pada akhir kem bagi menilai dan menguji sejauh mana pencapaian dan penguasaan peserta dalam kesemua slot dan LDP yang dijalankan.

Satu sesi ceramah yang bertajuk "Indahnya Berbahasa Arab" juga telah diadakan pada hari ke-2 dengan menampilkan Ustaz Yusof bin Yaacob, Penolong Pangarah B. Arab dari Jabatan Pelajaran Pulau Pinang. Di akhir kem, para peserta diberikan tugasan terakir dalam aktiviti "Explorace" sebelum mereka kesemuanya beraksi dalam 3 pementasan dengan penampilan menarik dalam Boria B. Arab, Dikir Barat B. Arab dan Nasyid B. Arab.

Monday, June 17, 2013

Kem Bina Juara B. Arab (KEMBARA) 2013

28 hingga 30 Jun 2013
Jumaat - Ahad
Hotel Swiss Inn, Sg. Petani, Kedah

Pengenalan 

Kem Bina Juara (KEMBARA) Bahasa Arab j-QAF anjuran Panitia Bahasa Arab adalah suatu usaha untuk menggilap bakat dan potensi murid-murid cemerlang dalam Bahasa Arab. Kem ini akan menjadi asas melahirkan juara di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam masa yang sama kem ini juga dapat membentuk Murid Turus yang akan membantu guru di kelas untuk membimbing rakan sebaya. Kem ini dijalankan mengikut modul dan dilaksanakan di peringkat sekolah. Kem tersebut akan memberi tumpuan kepada modul yang dikendalikan oleh fasilitator atau guru-guru yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.

Objektif Umum

1. Memberi peluang kepada murid untuk memperkembangkan bakat melalui modul yang diperkenalkan.
2. Melahirkan murid yang mempunyai jati diri dan berketrampilan yang tinggi.
3. Mewujudkan semangat persaingan yang sihat di kalangan murid.
4. Melahirkan murid yang berpotensi dalam bidang yang diketengahkan.
5. Melatih murid-murid yang cemerlang mendalami pengetahuan dalam bidang yang dipelajari sebagai persediaan untuk menjadi juara.

Objektif Khusus

1. Melahirkan generasi yang cintakan Bahasa Arab.
2. Memantapkan kemahiran bertutur murid.
3. Membina keyakinan diri murid untuk berucap di khalayak ramai.
4. Meningkatkan kefasihan murid menyebut kalimah Bahasa Arab.
5. Melatih murid menyebut huruf-huruf dan perkataan-perkataan Bahasa  Arab dengan betul.


LAGU TEMA KEM BINA JUARA

Sunday, June 16, 2013

KEM TAHSIN AL-QURAN 2013

Sungai Petani 16 April 2013 Seramai 120 murid SK Bertam Indah telah menyertai dengan jayanya Kem Tahsin Al-Quran 2013 selama tiga hari bermula dari 14 Jun hingga 16 Jun 2013. Bertempat di Hotel Swiss Inn, program yang dianjurkan Panitia Pendidikan Islam ini telah berjaya mencungkil bakat murid dalam bidang al-Quran khususnya dalam slot tarannum.

Program yang bernaung di bawah peruntukan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini telah membariskan 16 orang fasilitator yang terdiri daripada kalangan guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF. Ia turut diserikan dengan kehadiran penceramah undangan iaitu Ustaz Mohd Hafizal Abu Hassan dari SK Pokok Sena dan Ustazah Norlia Saidin dari SMK Paya Keladi.

Di hari terakhir program, para peserta dikejutkan dengan kehadiran Tuan Pengarah JPN Pulau Pinang yang mengadakan tinjauan mesra program tersebut. Beliau dalam ucapan ringkasnya menerangkan betapa pentingnya murid-murid untuk menimba sebanyak mana ilmu yang boleh agar menjadi manusia yang mulia. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada barisan guru dan sekolah kerana berjaya menganjurkan program yang seumpama ini.