Sunday, June 16, 2013

KEM TAHSIN AL-QURAN 2013

Sungai Petani 16 April 2013 Seramai 120 murid SK Bertam Indah telah menyertai dengan jayanya Kem Tahsin Al-Quran 2013 selama tiga hari bermula dari 14 Jun hingga 16 Jun 2013. Bertempat di Hotel Swiss Inn, program yang dianjurkan Panitia Pendidikan Islam ini telah berjaya mencungkil bakat murid dalam bidang al-Quran khususnya dalam slot tarannum.

Program yang bernaung di bawah peruntukan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini telah membariskan 16 orang fasilitator yang terdiri daripada kalangan guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF. Ia turut diserikan dengan kehadiran penceramah undangan iaitu Ustaz Mohd Hafizal Abu Hassan dari SK Pokok Sena dan Ustazah Norlia Saidin dari SMK Paya Keladi.

Di hari terakhir program, para peserta dikejutkan dengan kehadiran Tuan Pengarah JPN Pulau Pinang yang mengadakan tinjauan mesra program tersebut. Beliau dalam ucapan ringkasnya menerangkan betapa pentingnya murid-murid untuk menimba sebanyak mana ilmu yang boleh agar menjadi manusia yang mulia. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada barisan guru dan sekolah kerana berjaya menganjurkan program yang seumpama ini.

Thursday, October 25, 2012

Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan

Alhamdulillah, Pertandingan Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan Kali Pertama 2012 telahpun melabuhkan tirainya pada 23 Oktober yang lalu. Natijahnya, pasukan SKBI yang mewakili Pulau Pinang hanya mampu meraih saguhati dalam acara tersebut apabila terpaksa memberi laluan kepada kontijen Terengganu untuk melakar sejarah mendahului pasukan tuan rumah di tempat kedua dan Pahang di tempat ke-3.
Sebanyak 15 kontijen telah mempersembahkan Kalam Jama'ie masing-masing dengan penuh bertenaga dan mantap di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. Aspek persembahan, isi, gaya bahasa dan sebagainya telah dinilai dengan jayanya kerana ia merupakan aset utama dalam penentuan pemenang seterusnya akan menjadi "benchmark" di masa hadapan.
Apa yang menarik, pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini telah menempatkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang mempertaruhkan jantina dari kalangan lelaki. Fenomena ini telah menarik perhatian kontijen-kontijen negeri lain dan hampir-hampir mendapat jolokan "lelaki melayu terakhir".
Dalam pada itu, pertandingan ini turut diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Kali Ke-5. Seramai 10 orang murid dari kontijen Pulau Pinang diberikan penghormatan untuk bersama-sama pasukan jemputan dari negeri Johor berada di pentas utama mengetuai majlis khatam.


Ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat semua murid SKBI kerana telah memikul amanah dalam menggalas nama Pulau Pinang ke persada raya. Walaupun pulang dengan hanya sijil penyertaan, perjuangan kalian belum tamat kerana ia sebenarnya baru bermula. Terlalu banyak ilmu yang harus dipelajari, terlalu jauh jalan yang perlu ditempuhi dan terlalu tinggi puncak yang mahu didaki. Apapun, kalian telah mempamerkan satu persembahan yang baik. Cuma, rezeki masih bukan di tangan kita dek terdapat beberapa aspek dan teknik yang perlu diperhalusi dan diperbaiki di masa hadapan.
Ingatlah ! kalah dan menang adalah hukum dan lumrah pertandingan. Sesekali berasa diri dijulang apa salahnya kita diuji dengan satu kekalahan. Setidak-tidaknya perit dan hampanya pasukan lain menangisi kemenangan kita di peringkat negeri, telahpun dikongsi bersama oleh kita di peringkat ini.
Oleh itu, fikir-fikirkanlah.... 

*** Mewakili pihak pentadbiran SKBI, kesemua guru pengiring dan murid-murid Kalam Jama'ie SK Bertam Indah merakamkan segunung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Us. Azmi Abdul Hamid (Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) dan Us. Shuib Zainordin @ Zainuddin (Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Pulau Pinang) yang turut mengiringi rombongan pasukan ke negeri Johor dan mengatur kesemua sesi latihan pusat, pergerakan ahli, pakaian, jadual, penginapan dan sebagainya. Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua barisan hakim dan jurulatih negeri yang tidak jemu bersama sepanjang sesi latihan dijalankan. Moga jasa baik dan tunjuk ajar yang diberikan akan dinilai Allah sebagai amal yang diberkati dan diredhai. Amin...

(Gambar-gambar sekitar pertandingan akan diupload kemudian)

Saturday, September 22, 2012

KALAM JAMA'IE JOHAN LAGI....







Bertempat di SK Bandar Tasek Mutiara, pasukan Kalam Jama'ie SK Bertam Indah sekali lagi menjulang kejuaraan dalam Pertandingan Kalam Jama'ie Ihtifal j-QAF Peringkat Negeri Pulau Pinang 2012 yang diadakan pada hari ini. Untuk rekod ini adalah kali ke-4 pasukan tersebut mengondol gelaran juara sejak ia diperkenalkan sejak tahun 2006 lagi.

Pada 2006 seramai 30 orang murid diserapkan ke dalam pasukan Kalam Jama'ie SKBI yang rata-ratanya adalah murid-murid tahun 2, 3 dan 5. Hanya 3 orang sahaja murid tahun 6 ketika itu. Pada 2007 murid-murid tersebut menyertai lagi dan natijahnya gelaran johan kali ke-2 telah dijulang.

Pada 2010, pasukan KJ SKBI tidak menyertai disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Pada 2011, sekali lagi pasukan ini menjuarai pertandingan Kalam Jama'ie untuk kali ke-3.

Apa yang menarik, pasukan Kalam Jama'ie SKBI ini dimonopoli oleh murid-murid lelaki sejak ia ditubuhkan sehingga ke hari ini.

Tahniah dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada barisan jurulatih iaitu En. Rasyiddin, En. Zamzuri, Pn. Normah, Pn. Faizah dan kesemua guru j-QAF dan pendidikan Islam. Tidak dilupakan juga kepada Pn. Noor'ain dan Datin Angama yang turut serta dalam menjayakan latihan yang diadakan.

Insya Allah pada 21 hingga 23 Oktober 2012 ini, buat julung kalinya pasukan ini akan mewakili Pulau Pinang dalam Pertandingan Kalam Jama'ie Peringkat Kebangsaan Kali Pertama yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Darul Takzim. Doakan kejayaan mereka, amin.

REKOD PENCAPAIAN

1. 2006 - Johan : ILP Nibong Tebal, Seb. Perai Selatan
2. 2007 - Johan : Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang
3. 2011 - Johan : Dewan Budi Penyayang, Pulau Pinang
4. 2012 - Johan : SK Bandar Tasek Mutiara, Seb. Perai Selatan


REKOD JEMPUTAN / AKTIVITI

1. 2008 - Persembahan Jemputan sempena Pelancaran i-PINTAR oleh Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Ke-5 : SK Hashim Awang, Seb. Perai Utara

2. 2011 - Persembahan Jemputan sempena Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-sekolah (MTQSS) Kem. Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan 2011: SMKA Al-Irsyad, Seb. Perai Utara





Saturday, August 18, 2012