Tuesday, October 1, 2013

LAWATAN BPI KE DARUL BISYARAH

SK Bertam Indah hari ini telah menerima kunjungan penanda arasan daripada pihak Bhgn. Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia sempena Pertandingan Surau Imarah Peringkat Kebangsaan 2013. Rombongan seramai 3 orang yang diiringi pegawai SPI, JPPP, Ustaz Rozali itu telah disambut oleh PK 1 SK Bertam Indah, En. Kamal b. Mohd Noor.

Lawatan ini telah berlangsung selama hampir 3 jam bermula pada 10 pagi. SK Bertam Indah yang mempertaruhkan Darul Bisyarah sebagai "surau paling diimarahkan" telah terpilih untuk mewakili Pulau Pinang ke pertandingan tersebut bagi kategori sekolah rendah.

Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan dan penayangan slaid berkaitan Darul Bisyarah oleh Pn. Normah Samsudin dan Pn. Sharifah Yahya di bilik mesyuarat SKBI. Sementara sesi pengulungan dan penerangan ringkas pula telah disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohd Zaki yang mengetuai rombongan. Kunjungan ini telah diakhiri dengan sesi lawatan ke Darul Bisyarah dan jamuan tengahari sebelum mereka semuanya bertolak ke daerah pulau untuk lawatan seterusnya.

(jqaf_skbi2003@yahoo.com)

Saturday, September 28, 2013

Tahniah SKBI

Pasukan Kuiz j-QAF SK Bertam Indah telah dinobatkan sebagai naib johan dalam Acara Kuiz j-QAF sempena Mahrajan j-QAF Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013. Bertempat di SK Desa Murni pada hari ini, pasukan murid perempuan tahun 5 yang dilatih oleh Pn. Normah Samsudin ini telah jauh meninggalkan pasukan gangsa namun hanya kalah tipis 2 mata dengan penyandang pingat emas.

Dalam pada itu, bertempat di USM, P. Pinang seorang lagi peserta tahun 6 adik Nurafiqah bt. Mohd Latiff (6 Berlian) juga telah mengharumkan nama SKBI apabila turut dinobatkan sebagai naib juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa anjuran bersama SK Mindent Height dan USM. Seramai 10 orang peserta dari seluruh negara dan beberapa negara jiran telah menyertainya. Berbekalkan kisah "Al-Waqtu Kaz-Zahab" (Masa Itu Emas) adik Nurafiqah berjaya mengondol tempat kedua walaupun hanya "diterjunkan khas" selama 3 hari untuk sesi latihan secara intensif seliaan ibunya Pn. Normah Samsudin.

Adik Nurafiqah merupakan peserta sulong SKBI yang telah menyertai pertandingan berprestij seumpamanya sejak j-QAF mula diperkenalkan pada 2005. Diharapkan ia menjadi pedoman dan dorongan kepada murid-murid lain untuk lebih mendekatkan diri dalam program-program j-QAF terutama bidang B. Arab. Tahniah diucapkan !