Monday, March 8, 2010

KBS 1 (TAHUN 1)


Pn. Guru Besar menyampaikan ucapan penutupan dalam KBS baru-baru ini

Di setiap buah sekolah, bulan Mac merupakan bulan kemuncak bagi pelaksanaan Kem Bestari Solat (KBS) Kali Pertama. Tanggal 6 Mac 2010 merupakan permulaan KBS di SKBI. Seramai 117 orang murid tahun 1 telah terpilih menjadi peserta KBS ini dengan dijayakan oleh 7 orang guru GPI dan 10 orang guru j-QAF.

KBS pada kali ini dijalankan dengan modul yang berbentuk Explorace. Murid bergerak dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada 7 kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan melewati 3 stesen. Di stesen 1, murid akan mempelajari teknik dan amali wuduk. Manakala di stesen 2, murid dikehendaki menunjukkan perlakuan lafaz niat dan takbiratul ihram. Stesen terakhir iaitu stesen 3, murid akan mempelajari bacaan-bacaan dalam solat seperti bacaan ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Apa yang menyeronokkan, di akhir aktiviti Explorace ini murid-murid diberi ganjaran berupa coklat, wafer dan belon sebagai menghargai penyertaan mereka.

Hasil yang dapat diperolehi dari KBS 1 ini amat memberangsangkan. Ini kerana murid dapat menguasai pelbagai perkara dalam masa yang telah ditetapkan. Walaupun kebanyakan murid tahun 1 masih lemah dalam penguasaan bacaan dalam solat tetapi rata-ratanya telah mengetahui setiap perlakuan dalam solat dan berwuduk.



Sesi taklimat sebelum KBS bermula

Penerangan guru mengenai bacaan lafaz niat solat lima waktu

Tekun mendengar penerangan dan tunjuk ajar daripada guru

Menyemak bacaan kepada guru di stesen yang ditetapkan

Ketika di stesen 1 (amali wudu')
Antara guru SKBI yang turut membantu ketika waktu makan peserta
Para peserta bersalam-salaman sesama rakan dan guru selepas tamat KBS

No comments:

Post a Comment