Monday, June 18, 2012

KEM BINA JUARA 2012


Seramai 120 orang murid j-QAF Sekolah Kebangsaan seluruh Pulau Pinang telah menyertai Kem Bina Juara (KBJ) peringkat negeri bermula pada 14 hingga 16 Jun 2012 yang lalu. Program yang berlangsung selama 3 hari di Kompleks Rakan Muda Jawi, Seberang Perai Selatan itu telah dirasmikan oleh Ustaz Shuib Bin Zainordin @ Zainuddin, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang. Menurut pengarah program yang juga Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam (UPPI), Ustaz Azmi bin Abdul Hamid program itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid dalam bidang Bahasa Arab, tarannum dan penulisan khat. Semua murid yang hadir terdiri daripada kalangan mereka yang cemerlang di peringkat sekolah. Kem Bina Juara ini merupakan salah satu program Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah melahirkan modal insan bagi menyediakan generasi berkualiti bermula dari peringkat persekolahan rendah lagi. Program ini menjadi asas ke arah melahirkan insan yang berterampilan dan kecemerlangan dari sudut pemikiran, bakat, kemahiran dan sahsiah. 

Menurut salah seorang fasilitator, En. Rasyiddin Mohd dari SK Bertam Indah  program ini dijalankan dalam bentuk kem yang memberi fokus kepada latihan secara individu dan berkumpulan bagi mengasah bakat dan minat murid dalam tiga model daripada 4 model utama program j-QAF iaitu al-Quran, jawi dan Bahasa Arab. Ia merupakan kemahiran tambahan kepada murid-murid yang telah menguasai model-model itu di sekolah. Salah seorang peserta Bahasa Arab tahun 4 Muhd Zarif Adam b. Fathi, dari SK Sg Dua berkata “Saya memperolehi banyak pengalaman dan berpeluang mengenali rakan-rakan baru. Di samping itu saya juga boleh bertutur Bahasa Arab dan memperbaiki tatabahasa serta pertuturannya dengan lebih baik. Pengalaman ini saya akan kongsikannya bersama rakan–rakan di sekolah”.


TONTON KLIP VIDEO RASMI PROGRAM KBJ B. ARAB PULAU PINANG 2012
http://www.youtube.com/watch?v=RvQ-gBzctz8&feature=share&list=UUlYFinbPEqbHKEj-bosTJYQ

Saturday, June 9, 2012

PENAMPAR ! Itu Jawapannya : )

 

Ada seorang pemuda yang lama belajar di luar negeri kembali ke tanah air dengan angkuh dan sombong. Di dalam benak kepalanya telah lama tersimpan 3 pertanyaan yang dianggapnya tiada siapa yang boleh menjawab. Satu hari beliau bertemu seorang imam tua di kampungnya.

Pemuda: Pak imam, apakah boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?
Pak Imam: Saya hamba Allah dan dengan izinNya saya akan menjawab pertanyaan kamu!

Pemuda: Pak imam yakin? Profesor dan banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab pertanyaan saya.

Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya, insya'Allah.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan;
  1. Kalau benar Tuhan itu ada, tunjukan kewujudan Tuhan kepada saya?
  2. Apakah yang dinamakan TAKDIR?
  3. Kalau syaitan diciptakan daripada api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu? Dengan sepontan Pak Imam tersebut menampar pipi si pemuda itu dengan amat kuat.


Pemuda (sambil menahan sakit): Kenapa pak imam marah kepada saya?

Pak Imam: Saya tidak marah...Tamparan itu adalah jawapan saya untuk 3 pertanyaan yang awak tanyakan kepada saya.

Pemuda: Saya amat tidak faham..??
Pak Imam: Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit dan pedih..!!
Pak Imam: Jadi awak percaya bahawa sakit itu ada?
Pemuda: Ya..!!

Pak Imam: Tunjukkan pada saya wujudnya sakit itu atau macam mana rupanya?
Pemuda: Tak boleh pak imam...!!!
Pak Imam: Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama awak, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tanpa mampu melihat kewujudanNya.

Pak Imam: Adakah malam tadi awak bermimpi atau telah tahu saya akan menampar awak?
Pemuda: Tidak..!!?
Pak Imam: Apakah awak pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan dari saya hari ini?
Pemuda: Tidak..!!!?
Pak Imam: Itulah yang dinamakan TAKDIR!

Pak Imam: Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar awak ini?
Pemuda: Kulit dan daging..!!
Pak Imam: Terbuat dari apakah pipi awak itu?
Pemuda: Kulit dan daging..!!?
Pak Imam: Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Sakit dan pedih..!!?
Pak Imam: Itulah...! Walaupun syaitan terbuat dari api dan neraka terbuat dari api, jika Tuhan berkehendak maka neraka akan jadilah ia tempat yang menyakitkan untuk syaitan, walaupun sama unsur asalnya..!!

Pemuda: Allahuakbar!

Thursday, June 7, 2012

ZUHRAH melintasi MATAHARI


Subhanallah, Maha Suci Allah. Segala yang berlaku adalah dengan kuasa Allah serta menunjukkan tanda-tanda kebesaranNya.  


Seluruh penduduk dunia pada Rabu kelmarin berpeluang menyaksikan satu peristiwa yang jarang-jarang berlaku iaitu planet Zuhrah ataupun Kejora melintasi matahari. Fenomena itu hanya dapat disaksikan sekali seumur hidup bagi seorang manusia yang jangka hayatnya kurang 100 tahun. Namun, bagi yang berkesempatan mungkin umurnya ketika itu adalah 117 tahun (berumur 12 tahun pada 2012) ataupun lebih, mereka bakal menyaksikan lagi pada 10 Disember 2117 iaitu 105 tahun akan datang.
Ia berlaku apabila bumi bergerak mengelilingi matahari selama lebih kurang 365 hari. Manakala Zuhrah pula mengambil masa 225 hari untuk melengkapi satu pusingan mengelilingi matahari. Ketika planet Zuhrah mengorbit matahari, ia akan melintasi bumi setiap 1.6 tahun kerana orbitnya lebih kecil dan pergerakkannya lebih laju berbanding bumi. Ketika itu ia akan berada di antara matahari dan bumi. Disebabkan satah orbit Zuhrah ini sedikit senget, maka selalunya ia akan berada di posisi bawah ataupun atas matahari. 


Menurut ahli astronomi pertama Johannes Kepler, planet Zuhrah akan melintasi matahari sebanyak dua kali secara occur in pairs iaitu secara berpasangan dalam jangka masa lapan tahun dan tidak akan melintasinya lagi sebelum berlalu satu abad. Pada tahun 2004 ia telahpun berlaku iaitu pada tanggal 8 Jun 2004. Selepas transit pada tahun 2004 dan 2012, ia tidak akan berlaku lagi sehingga 2117 dan 2125. Untuk rekod, transit semasa ini telahpun didahului dengan transit sebelumnya iaitu pada tahun 1874 - 1882 dan 1761 - 1769.

Di Malaysia hanya penduduk sebelah pantai timur Sabah sahaja yang boleh melihatnya pada pagi Rabu 6 Jun 2012 bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengah hari. 




http://youtu.be/UDWtDIYcvdE