Monday, June 18, 2012

KEM BINA JUARA 2012


Seramai 120 orang murid j-QAF Sekolah Kebangsaan seluruh Pulau Pinang telah menyertai Kem Bina Juara (KBJ) peringkat negeri bermula pada 14 hingga 16 Jun 2012 yang lalu. Program yang berlangsung selama 3 hari di Kompleks Rakan Muda Jawi, Seberang Perai Selatan itu telah dirasmikan oleh Ustaz Shuib Bin Zainordin @ Zainuddin, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang. Menurut pengarah program yang juga Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam (UPPI), Ustaz Azmi bin Abdul Hamid program itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid dalam bidang Bahasa Arab, tarannum dan penulisan khat. Semua murid yang hadir terdiri daripada kalangan mereka yang cemerlang di peringkat sekolah. Kem Bina Juara ini merupakan salah satu program Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah melahirkan modal insan bagi menyediakan generasi berkualiti bermula dari peringkat persekolahan rendah lagi. Program ini menjadi asas ke arah melahirkan insan yang berterampilan dan kecemerlangan dari sudut pemikiran, bakat, kemahiran dan sahsiah. 

Menurut salah seorang fasilitator, En. Rasyiddin Mohd dari SK Bertam Indah  program ini dijalankan dalam bentuk kem yang memberi fokus kepada latihan secara individu dan berkumpulan bagi mengasah bakat dan minat murid dalam tiga model daripada 4 model utama program j-QAF iaitu al-Quran, jawi dan Bahasa Arab. Ia merupakan kemahiran tambahan kepada murid-murid yang telah menguasai model-model itu di sekolah. Salah seorang peserta Bahasa Arab tahun 4 Muhd Zarif Adam b. Fathi, dari SK Sg Dua berkata “Saya memperolehi banyak pengalaman dan berpeluang mengenali rakan-rakan baru. Di samping itu saya juga boleh bertutur Bahasa Arab dan memperbaiki tatabahasa serta pertuturannya dengan lebih baik. Pengalaman ini saya akan kongsikannya bersama rakan–rakan di sekolah”.


TONTON KLIP VIDEO RASMI PROGRAM KBJ B. ARAB PULAU PINANG 2012
http://www.youtube.com/watch?v=RvQ-gBzctz8&feature=share&list=UUlYFinbPEqbHKEj-bosTJYQ

No comments:

Post a Comment