Saturday, December 31, 2011

Selamat Tinggal 2011


Kurang 2 jam lagi, kita akan meninggalkan tahun 2011, tentunya banyak peristiwa dan memori yang terjadi sepanjang tahun ini. Yang pasti, lembaran 2012 bakal dibuka oleh kita semua untuk terus mencorak peristiwa baru yang hendaknya lebih baik dari apa yang pernah kita lakarkan.

Untuk ta..

Thursday, September 22, 2011

Monday, September 12, 2011

Wednesday, August 31, 2011

MERDEKA 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Kali Ke 54. Bersama Hayati Erti & Nilai Sebuah Kebebasan.


"TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA"

Friday, August 26, 2011

Majlis Perasmian Penutup Semarak Ramadan




26 Ogos 2011 (Jumaat)
Majlis Perasmian Penutup Program Semarak Ramadan berlangsung dengan jayanya di ruang legar SK Bertam Indah pada hari terakhir persekolahan cuti penggal kedua sesi pertama 2011. Majlis yang dimulakan dengan bacaan doa oleh Us. Zamzuri Daud itu dirasmikan oleh YDP PIBG En. Syariful Azhar dan diserikan lagi dengan persembahan Qasidah oleh murid-murid tahun 4 dan 5 serta nasyid murid-murid Pra Berlian dan Pra Mutiara.

Pada majlis itu juga, penyampaian sumbangan berbentuk duit raya daripada Bank Rakyat Malaysia Berhad kepada anak-anak yatim juga turut diagihkan kepada murid-murid yang layak dan disampaikan sendiri oleh wakilnya. Turut disampaikan ialah sumbangan kuih dan duit raya kepada semua peserta Tadarus al-Quran Semarak Ramadan.

Dalam pada itu, majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah kepada semua 18 pemenang Kuiz Ramadan dan Program Bacaan NILAM berteraskan Pendidikan Islam. Majlis diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada semua guru yang terlibat dalam program Tadarus al-Quran, penyampaian kad ucapan hari lahir TNB kepada murid-murid tahun 6 yang lahir pada Julai dan Ogos, nyanyian lagu-lagu raya dan penyampaian duit raya "1 Ringgit 1 Orang" kepada semua murid-murid SKBI.


Bacaan doa oleh Us. Zamzuri Daud

Guru Besar Pn. Hjh. Halimatun Sa'adiah
menyampaikan ucapan aluan


Persembahan Qasidah yang dilatih khas oleh 5 orang guru praktikum IPGM Kampus Tuanku Bainun yang mendapat perhatian ramai

Sedutan Video Qasidah




YDP PIBG menyampaikan hadiah Kuiz Ramadan kepada adik Muhammad Zulhanif daripada 3 Berlian dan Nur Afiqah 4 Berlian

Penyampaian saguhati berbentuk kuih dan duit raya oleh PK 1 Pn. Hawa Mat Yazid kepada sebahagian peserta Tadarus (Muhammad Fawwaz, Haniey, Muhammad Danial Hafizi dan Izzatul Nadia)

Penyampaian saguhati oleh Guru Besar kepada wakil guru Program Tadarus al-Quran

Majlis Khatam Al-Quran 25 Ogos 2011 (Tadarus Ramadan)

Para peserta bergambar kenangan di hadapan Darul Bisyarah sejurus selesai Majlis Khatam al-Quran sempena Program Semarak Ramadan 1432 Hijrah















Us. Mohd Sabri Haniff mengetuai majlis khatam















Para peserta mendengar tazkirah selepas majlis selesai

Thursday, August 25, 2011

Aidil Fitri : Raikan Dengan Bersyariat

Tak sabar rasanya nak berhari raya..”

“ Berapa pasang baju raya tahun ni ?? ”

“ Raya tahun ni tukar langsir baru tak ?


Begitulah antara dialog-dialog yang biasa kita dengar bagi menggambarkan fenomena Hari Raya, sama ada dari anak-anak kecil sehinggalah orang dewasa. Semuanya berubah ‘mood’ dan berubah wajah mereka tika terdengar perkataan ‘Hari Raya’. Ya, Hari Raya adalah hari yang menggembirakan dan menceriakan. Yang pasti , ianya merupakannikmat yang dianugerahkan Allah kepada seluruh umat Islam setelah sebulan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Bukan itu sahaja, muslim yang berpuasa menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa. Mana tidaknya, bukankah hari raya dikatakan hari yang paling gembira ?? Namun, di sebalik kegembiraan tersebut, kita haruslah ingat bahawa Hari Raya yang disambut perlulah berlandaskan syariat Islam agar tidak dicemari oleh dosa-dosa yang boleh menghapuskan semua ibadah puasa. Jadikan bulan Ramadan sebagai bulan ketakwaan, bulan Syawal sebagai pelengkap dan penyempurna kepada matlamat ketakwaan tersebut. Jadi, bagaimanakah cara untuk menjadikan Hari Raya kita sebagai ibadah yang melengkapi Ramadan ??

Banyakkan bertakbir, bertahmid, dan bertasbih. Sebagai seorang muslim, apakah cara lain lagi untuk memuji Allah SWT selain melafazkan ucapan mengagungkan dan memuji Allah atas kurniaan rahmatNya yang memberi kudrat dan kekuatan untuk mengerjakan ibadah puasa dan masih memberi sisa umur yang berbaki untuk menyambut hari mulia iaitu Hari Raya. Firman Allah yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185).
Mandi dan memakai pakaian yang baru. Menjadi kebiasaan apabila tibanya hari raya, umat Islam disunatkan untuk memakai pakaian yang indah dan berwangi-wangian. Hal ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Mereka akan berpakaian yang indah tetapi tetap menjaga syariat Islam, iaitu bukan keterlaluan sehingga melanggar syariat Islam. Hari Raya mestilah dijaga daripada unsur-unsur maksiat, berpakaian membuka aurat, pergaulan bebas, dan pelbagai lagi yang boleh membawa kepada dosa. Hari Raya yang sepatutnya mendapat ganjaran besar di sisi Allah menjadi sesuatu yang tidak bernilai malah mendapat dosa. Malanglah bagi orang bersikap demikian.
Menuju ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Aidil Fitri. Amalan utama seorang muslim di pagi Hari Raya ialah solat Aidil Fitri secara berjemaah di masjid atau di surau. Hal ini memberi peluang untuk mendengar khutbah, melafazkan takbir mengagungkan Allah dan bersama mengaminkan doa di pagi hari raya. Amat digalakkan seseorang muslim untuk menggunakan jalan lain ketika pergi dan balik dari solat. Sebab apa? Kerana seorang muslim itu akan bertemu dengan lebih ramai orang untuk saling bermaafan dan mengucapkan kata “tahniah” sesama mereka kerana diberikan kudrat untuk menjalani ibadah puasa sehingga dapat mencapai nikmat berhari raya.
Ziarah-menziarahi sesama saudara. Jadikan Hari Raya sebagai hari bersilaturrahim. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bermesra dan membudayakan amalan ziarah-menziarahi di pagi hari raya untuk menguatkan tali silaturrahim sama ada dari pihak keluarga atau dari saudara-saudara seIslam yang lain. Namun, janganlah dirosakkannya dengan pergaulan bebas tanpa mengira batas aurat, atau bersalaman dengan orang yang bukan mahram yang menjadikan hari raya membuahkan dosa. Hari raya bukan hari yang hanya untuk melafazkan kata, “maaf, zahir dan batin” malah lebih dari itu iaitu menghadirkan seikhlas mungkin kata maaf yang dilafazkan dan bersikap berlapang dada dengan muslim yang lain.

Ayuh kita mencintai Nabi dengan melakukan sunnahnya. Moga syafaatnya akan menjadi asbab kita untuk ke syurga . Insya’ ALLAH

Oleh : Alwani Abu Bakar





Monday, August 22, 2011

Menyusur Hari Kemenangan



Hari Raya
merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Hari yang penuh dengan warna warni sebuah perjalanan setelah mujahadah melawan hawa nafsu selama sebulan. Seharusnya dan semestinya rasa syukur ini hadir dalam diri setiap umat Islam. Wajah bersih anak-anak kecil pasti mencuit hati yang melihat. Kegembiraan ini bukan hanya pada wajah anak-anak, tapi juga pada kita, iaitu orang yang lebih mengerti apa itu hari raya.

Malam raya merupakan malam pelepasan bagi sesetengah orang, namun ada juga yang menganggap malam raya sebagai sebuah kesedihan. Hal ini kerana, bulan penuh dengan keberkatan iaitu Ramadan bakal ditinggalkan. Jika diimbas kisah sahabat Nabi SAW, mereka menangis apabila Ramadan bakal berlalu. Mungkin ini Ramadan yang terakhir buat mereka.

Ayuh menyusur malam 1 Syawal dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi . Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud : “… dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (bulan Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur”.

Walaupun kita tidak layak untuk syurgaNYA, namun sanggupkah kita meniti api neraka ALLAH ? Oleh itu, mari rebut peluang ini sebaiknya, tinggalkan sebentar keseronokan dunia demi sebuah hadiah yang tidak ternilai harganya, iaitu SYURGA ALLAH. Ayat ini menunjukkan sesungguhnya kita digalakkan untuk bertakbir memuji kebesaran Ilahi. Mari kita bersama-sama melaungkan takbir di malam raya agar malam keberkatan tersebut akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawasanya kita telah mencintai nabi dengan mengamalkan sunnah baginda.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya. Sungguh banyak nikmat yang DIA berikan pada kita, cuma butanya hati kita yang menyebabkan kita bodoh dalam menghargai pemberian DIA pada kita. Sesungguhnya dalam diri kita terzahir kasih dan sayangNYA. Wallahua’lam.

Oleh : Alwani Abu Bakar

Friday, August 19, 2011

Menggapai Malam Seribu Bulan



Inilah wahai saudara Muslimku, ayat-ayat Qur’aniyah dan hadis-hadis Nabawiyyah yang sahih yang menjelaskan tentang Lailatul Qadar.

1. Keutamaan Lailatul Qadar : Cukuplah untuk mengetahui mulianya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan, Allah berfirman : “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

2. Waktunya : Pendapat yang paling kuat, terjadinya Lailatul Qadar itu pada malam-malam terakhir bulan Ramadan, berdasarkan hadis ‘Aisyah r.a., dia berkata : “Rasulullah SAW beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan beliau bersabda, “Carilah Lailatul Qadar (di malam ganjil) pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (HR Bukhari & Muslim).
Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sampai terluput dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat Ibnu Umar r.a. (dia berkata): “Rasulullah SAW bersabda, “Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya.” (HR Bukhari & Muslim).

Kesimpulannya, jika seseorang Muslim mencari Lailatul Qadar, carilah pada malam ganjil sepuluh hari terakhir, 21, 23, 25, 27 dan 29. Kalau lemah dan tidak mampu mencari pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam ganjil tujuh hari terakhir iaitu 25, 27 dan 29. Wallahu a’lam.

3. Bagaimana Mencari Lailatul Qadar : Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim). Disunnahkan untuk memperbanyak do’a pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. (dia) berkata, "Aku bertanya, Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bila malam al-Qadar (terjadi), apa yang harus aku ucapkan?" Beliau menjawab, "Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii. Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku." (HR Tirmidzi, Ibnu Majah)

Saudaraku - Semoga Allah memberkahimu dan memberi taufiq kepadamu untuk mentaatiNya - Engkau telah mengetahui bagaimana keadaan malam al-Qadar (dan keutamaannya) maka bangunlah (untuk menegakkan solat) pada sepuluh malam hari terakhir. Dari Aisyah r.a., “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh hari (terakhir bulan Ramadan), beliau mengencangkan kainnya (menjauhi isteri-isterinya kerana ibadah, menyingsingkan badan untuk mencari Lailatul Qadar), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (HR Bukhari & Muslim). Juga dari ‘Aisyah r.a., “Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadah apabila telah masuk) malam kesepuluh (terakhir), yang tidak pernah beliau lakukan pada malam-malam lainnya.” (HR Muslim)

4. Tanda-tandanya : Ketahuilah hamba yang taat, mudah-mudahan Allah menguatkanmu dengan ruh dariNya dan membantu dengan pertolonganNya. Sesungguhnya Rasulullah SAW menggambarkan paginya malam al-Qadar agar seorang muslim mengetahuinya. Dari Ubay r.a., ia berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Pagi hari malam al-Qadar, matahari terbit tanpa sinar menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi.” (HR Muslim). Dari Abu Hurairah, ia berkata : Kami menyebutkan malam al Qadar di sisi Rasulullah SAW beliau bersabda, “Siapa di antara kalian yang ingat ketika terbit bulan, seperti syiqi jafnah.” (HR Muslim).

Perkataannya “Syiqi Jafnah”, syiqi ertinya setengah, jafnah ertinya bejana. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Dalam hadits ini ada isyarat bahwa malam al-Qadar hanya terjadi di akhir bulan, kerana bulan tidak akan seperti demikian ketika terbit kecuali di akhir-akhir bulan.” Dan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan.” (HR Thayalisi, Ibnu Khuzaimah, Bazzar).

Oleh :
Mohamad Sabri Haniff

Wednesday, August 17, 2011

Semangat Badar Di Hujung Ramadan



Paparan Ilustrasi
menunjukkan peristiwa yang berlaku sewaktu peperangan Badar pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 15 Mac tahun 624 Masihi.

1. Ketibaan orang-orang muslimin di kawasan Badar.
2. Di sini berkumpulnya tentera Islam ketika sampai berhampiran dengan kawasan Badar.
3. Pada malam peperangan berlaku, Rasulullah SAW telah mengutuskan beberapa orang tenteranya untuk menguasai tempat mata air.
4. Markas pusat peperangan dan juga Rasulullah mengikuti perkembangan peperangan Badar.
5. Penempatan tentera muslimin di kawasan bukit.
6. Ketibaan orang musyrikin ke kawasan Badar dari Mekah.
7. Di sini berkumpulnya tentera musyrikin ketika sampai berdekatan dengan kawasan Badar.
8. Penempatan orang-orang musyrikin di kawasan Badar.
9. Kawasan berlakunya peperangan.


Bulan Ramadan bulan keampunan dan bulan mulia. Pada bulan ini juga berlaku banyak peristiwa penting dalam sejarah kerasulan nabi Muhammad SAW iaitu Perang Badar. Pada 2 Hijrah berlaku satu peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Perang Badar yang berlangsung pada 17 Ramadan adalah perang pertama di antara umat Islam dengan puak kafir musyrikin dari Mekah. Ia berlaku di satu kawasan lembah bernama Badar yang menjadi persimpangan perjalanan kabilah-kabilah perdagangan antara Madinah, Mekah dan Syria.

Sesungguhnya kemenangan ini bukan sahaja soal kekeluargaan dan persahabatan yang menguji keimanan, malah kekuatan dari segi bilangan perajurit dan kelengkapan yang amat kurang berbanding pasukan musyrikin juga amat mencabar keyakinan pasukan Islam.

Menurut catatan sejarah, bilangan perajurit Islam adalah antara 300 hingga 316, berbanding kira-kira 1,000 anggota pasukan musyrikin. Mereka menunggang dua ekor kuda dan 70 ekor unta secara bergilir dari Madinah. Bukan sahaja kurang dari segi keanggotaan dan kelengkapan, malah perajurit-perajurit Islam juga sedang menjalani ibadat berpuasa Ramadan yang pertama dalam hidup mereka. Namun di sebalik pelbagai kekurangan itu, mereka mempunyai satu kelebihan iaitu ketakwaan mereka kepada Allah yang begitu tinggi. Kemenangan mereka disambut dengan takbir yang bergema lantang, syahdu dan bertali arus di Madinah apabila tibanya Aidilfitri pertama pada 1 Syawal berikutnya " Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya“. Sesungguhnya semangat tentera Islam yang berperang pada bulan Ramadan dengan kekurangan serba-serbi wajar menjadi inspirasi perjuangan kepada kita umat Islam pada hari ini. Apalah sangat perjuangan kita sekadar melawan nafsu makan dan nafsu syahwat berbanding mereka yang terpaksa berjalan kaki beratus-ratus kilometer ke medan perang sambil berpuasa dan hanya mampu bergilir-gilir menunggang kuda dan unta, yang pasti amat mencabar keupayaan fizikal mereka.

Sebaliknya ramai di antara kita pada hari ini begitu mudah berasa lesu apabila tiba waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Ada yang terus tertidur di surau atau masjid selepas menunaikan solat zohor. Malah ada yang bangun hanya apabila kedengaran azan solat Asar. Jika ditanya, mereka ini akan memberikan pelbagai alasan. Ada yang berbangga menyatakan mereka bertadarus selepas solat terawih 20 rakaat. Ada pula yang bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Pendek kata, segala solat sunat mahu dilakukan sepanjang malam Ramadan kerana mahu mengejar pahala. Akibatnya apabila sampai waktu tengah hari, ramai yang tidak produktif lagi dalam urusan kerja mereka. Tidakkah mereka ini pernah terbaca atau mendengar hadis popular yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka."

Maka lakukanlah puasa dan iringi dengan ibadat-ibadat sunat dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Janganlah menghitung pahala kerana itu sifat pekerja, bukannya sifat hamba. Allah menilai segala ibadat kita bukan sekadar daripada apa yang kita zahirkan, tetapi lebih kepada apa yang tersemat di hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Tingkatkan kualiti rohaniah kita. Ujian sebenar ialah bagaimana kita dapat mengawal nafsu, emosi dan melawan sifat-sifat buruk mazmumah ketika diri dalam keadaan lapar, dahaga, letih dan lesu. Perbanyakkan doa memohon keampunan-Nya. Mudah-mudahan kita akan tampil sebagai orang yang lebih beriman dan bertakwa setiap kali berakhirnya Ramadan.

Oleh :
Noor Johana Ilyas

Monday, August 15, 2011

Puasa Adat @ Puasa Ibadat



Definisi adat menurut Kamus Dewan bermaksud suatu peraturan yang diamalkan secara turun temurun (sejak dahulu kala) di dalam masyarakat atau suatu cara yang sudah menjadi kebiasaan Etimologi perkataan adat adalah dari bahasa Arab, ‘adah yang bererti kebiasaan atau sesuatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi kebiasaan yang tetap.

Ibadah pula menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah adalah suatu istilah yang mencakupi segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya , baik berupa perkataan mahupun perbuatan , yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (zahir).

Pernahkah terlintas di hati kita apakah ibadah kita itu diterima atau tidak ? Maka, tiada seorang pun yang dapat menjamin hal ini, sehingga sudah semestinya bagi setiap mukmin untuk beramal dengan senantiasa berharap dan cemas. Berharap agar ia mendapat redha Allah serta janji-janji yang sudah sudah ditetapkan Allah SWT dalam al Qur’an dan cemas sekiranya ibadah kita tidak diterima. Dan janganlah kita merasa kagum atas amal yang dilakukan dan merasakan bahawa ibadah kita pasti diterima.

Bulan Ramadan yang kita lalui sekarang ini hakikatnya adalah satu ujian daripada
Allah SWT sepertimana firman-Nya di dalam surah al-Mulk ayat ke -2 yang bererti “Allah yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya.” Jadi marilah kita bermuhasabah, apakah Ramadan yang kita lalui kali ini adalah puasa yang sesuai dengan ibadat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW atau hanya adat Kebiasaan tahunan semata-mata…

Cuba pilih…
Ramadan - Bulan Ibadah @ Bulan Juadah ?
Ramadan - Nak cari Lailatul Qadar @ Lailatul Bazar ?
Bazar Ramadan @ Bazir di bulan Ramadan ?

Ingat !! Yang terbaik amalannya… bukan yang terbaik perhiasan rumahnya, bukan yang terbaik baju rayanya, bukan yang paling meriah ‘open house’nya. Rasulullah SAW pernah bersabda : ‘Berapa ramai di kalangan manusia yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.’ (HR Bukhari & Muslim)

SALAM MUJAHADAH…

Oleh : Mohamad Sabri Haniff

Friday, August 12, 2011

Penyampaian Sijil Kalam Jamaie



Menyingkap Sejarah Penurunan al-Quran




Allah SWT
telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Membaca Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadah. Petunjuk ini merupakan sendi utama dimiliki agama Islam sebagai “way of life” bagi penganutnya dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat . Al-Quran dinukilkan secara mutawatir * (berperingkat) dan mushaf yang lazim ditemui hari ini dikenali dikenali sebagai mushaf ‘Uthmani.

Nuzul al-Quran bererti penurunan wahyu kalam suci Yang Maha Agung Allah SWT melalui malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi SAW. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan 13 tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah al-Munawarah. Proses penurunan al-Quran dari Lauh al-Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lingkungan 23 tahun. Firman Allah S.W.T. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pemdeda antara yang hak dan bathil (al-Baqarah : 185).

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya. Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.

Wahai generasi muda hari ini, Kitab suci al- Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang merangkumi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Apabila al- Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa, maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya, tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja kita berada.

*mutawatir : berperingkat atas sebab penurunannya.

Oleh : Sakinah Abdullah

Wednesday, August 10, 2011

Pencarian Bilal Muda / Gadis Muslimah j-QAF






Puasa VS Solat : Yang Mana Perlu Diutamakan ?



Suatu hari seorang anak kecil bertanya pada ibunya .” Ibu, Allah puasa tak ? ” Tanya si anak. Si ibu hanya tersenyum mendengar soalan si anak. “ Tak.. Allah bukan manusia jadi mana mungkin Allah berpuasa ” jawab si ibu. Anak yang masih tidak berpuas hati bertanya lagi. ” Allah suruh kita puasa tapi Allah tak puasa tak pa pun ”. Si ibu yang memahami menjawab soalan si anak. ” Sekarang Aiman bayangkan yang Aiman sudah berjaya mencipta sebuah robot mainan yang boleh bergerak tapi robot ini tidak boleh terkena air. Kalau kena air dia akan rosak. Aiman nak bagi kena air tak robot ni?” Tanya si ibu. “ Mestilah tak boleh kena air. Nanti rosak “ jawab si anak. “ Samalah juga dengan Allah yang mencipta manusia. Allah tahu yang manusia akan menjadi sihat dan kuat jika perutnya dibiarkan rehat di siang hari selama sebulan. Bila kita berpuasa semua enjin dalam perut akan berehat . Ini akan menjadikan kita kuat dan sihat. Nak tak jadi sihat?” Tanya si ibu. Si anak yang mula memahami tersenyum sambil berkata “Ooooo… baru Aiman faham”.


Dialog ini mengingatkan kita bahawa penerapan ilmu dalam mengajar anak melakukan sesuatu perkara mestilah diberikan dengan penuh pemahaman. Amalan yang dilakukan hanya dengan ikutan tanpa penjelasan hanya akan menyebabkan anak-anak tidak mengetahui mengapa mereka perlu melakukan sesuatu perkara tersebut. Penjelasan yang berhikmah mampu merungkai persoalan yang berselirat di dalam kepala anak-anak kecil. Tahukah kita pengkaji barat telah membuat kajian bahawa perut manusia perlu dikosongkan selama sebulan pada setiap tahun bagi mengekalkan kesihatan seseorang itu. Alangkah indahnya Islam kerana sememang dalam 1 tahun kita akan berpuasa selama sebulan. Allah Maha Pencipta maka Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Ibadah seperti solat dan puasa adalah ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap yang bernama muslim. Jika ditanya mana yang lebih utama antara solat dan puasa pastinya ibadah solat yang paling utama. Malangnya, ibadah solat seperti dipandang sepi oleh para ibubapa bilamana tiba bulan Ramadan. Ramai di kalangan ibu bapa yang memaksa anak belajar berpuasa tetapi tidak menyuruh anak-anak untuk menunaikan solat. Ada yang sanggup memberi upah berbentuk wang jika si anak berjaya berpuasa penuh. Sedarkah kita bahawa solat tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan sakit sekalipun tetap diwajibkan solat. Ibu bapa yang berjaya mendorong anak-anak yang berpuasa untuk menunaikan solat adalah ibubapa yang cukup cemerlang dalam mendidik anak-anaknya agar berpegang teguh dengan kedua-dua ibadah wajib ini.

Oleh itu, adalah menjadi harapan kita agar anak-anak yang kita didik dapat menunaikan solat sekalipun dalam keadaan yang letih akibat berpuasa. Solat dapat menyegarkan tubuh yang lemah kerana puasa. Manakala puasa dapat mendidik kita untuk menjadi lebih bersabar dan sentiasa bertindak mengikut landasan akal fikiran tanpa dorongan hawa nafsu.

Oleh : anibfirdausi.blogspot.com

Tuesday, August 9, 2011

PROMOSI : Kad Raya SKBI




Dapatkan segera KAD RAYA Edisi Terhad SKBI sempena Aidil Fitri Tahun ini keluaran Badan Kebajikan Guru dan Staf SKBI 2011. Pembelian boleh terus dibuat melalui Cikgu Maslinda di Bilik Guru ataupun di kaunter yang akan dibuka di ruang legar. Dapatkannya sebelum kehabisan...

Beli... jangan tak beli...

Monday, August 8, 2011

Menongkah Ramadan Di Lautan Rahmat



Diam tak diam
telah seminggu kita berada dalam madrasah Ramadan. Fasa kerahmatan masih bersisa cuma beberapa hari sahaja lagi. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Ramadan di awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka…”. Saat ini, para ‘abid dan pendamba cinta Ilahi mengerah sepenuh tenaga mengejar ganjaran dari Ilahi. Sebagaimana kita berasa teruja melihat deretan bazaar Ramadan, juga memikirkan menu buat santapan famili tatkala berbuka, begitulah juga kita sepatutnya dalam mengabdikan diri kepada Allah saat ini, seharusnya kita teruja menghitung pahala berganda yang sedang dicatat oleh malaikat. Di minda pula merangka-rangka amalan soleh apa yang yang akan ditambah hari ini agar rahmat yang dijanjikan Allah dilimpahkan kepada kita.

Puasa natijahnya takwa tetapi sejauh manakah Ramadan yang kita lalui selama ini berjaya mengubah dan menjadikan kita orang yang bertakwa ??

Orang bertakwa... mampu mengawal amarahnya.
Orang bertakwa… banyak memberi tanpa mengira saat sempit atau luas.
Orang bertakwa… tidak lama berada dalam dosa, cepat kembali & bertaubat.
Orang bertakwa… senantiasa murah dengan kemaafan.
Orang bertakwa… jiwanya tenang dan terpapar pada wajahnya sebuah ketenangan.
Orang bertakwa… setiap langkahnya sentiasa berhati-hati bimbang jika mengundang kemurkaan Allah.


Persoalannya setelah berpuluh Ramadan kita lalui, apakah sifat yang terbentuk dalam diri ? Setelah puluhan malah ratusan rakaat tarawih yang kita jalani, di manakah nilai takwa yang terlakar di sanubari ? Makin sabarkah atau tidak amarah di hati ?

Ramadan mengajar kita erti kesabaran. Mendidik kita menjadi insan budiman. Membentuk kita menjadi orang bertakwa. Ramadan masih muda dan kita masih punya waktu untuk terus mengkoreksi kualiti Ramadan kali ini. Justeru, dalam fasa kerahmatan yang berbaki, penuhilah ia dengan amal dan bakti. Rebutlah peluang yang ada walau hanya untuk sedetik dua. Ingatlah ! di kala rahmat Ramadan yang tersisa tidak lama menanti, jangan biarkan ia pergi tanpa sempat kita menongkahnya menjadi insan bertakwa yang hakiki.

Oleh :
hawajamilah.blogspot.com

Friday, August 5, 2011

Kurma Juadah Utama Berbuka



M
enjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan bahawa kurma berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765. Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Umat Islam di seluruh dunia menjadikan kurma sebagai juadah untuk berbuka puasa . Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka dan buah ini menjadi menu utama baginda Rasulullah SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman. Daripada Anas :
“ Sesungguhnya Nabi berbuka puasa dengan beberapa ruthab (kurma basah dan segar yang yang baru dipetik dari pokok) sebelum solat Maghrib, kalau tidak ada ruthab, maka beliau
berbuka dengan tamar (kurma kering), jika tidak ada, maka dengan meneguk beberapa tegukan air putih. ”
(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan. Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji atau umrah di Mekah.

Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai etnik dunia yang dihidangkan dalam pelbagai resipi dan cara yang mampu menambat selera sesiapa yang melihatnya. Dengan adanya ciptaan baru dalam dunia kulinari, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata.

Wednesday, August 3, 2011

Mencari Rahmat Di Denai Ramadan



Ramadan
bulan mulia, bulan kerahmatan dan keberkatan. Umum mengetahui bahawa Ramadan adalah suatu bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan dan kenikmatan dalam beribadah. Tetapi sejauhmanakah kita umat Muhammad dapat merealisasikan keistimewaan beribadah dalam bulan Ramadan. Saban tahun, Ramadan datang dan pergi begitu sahaja tanpa kita sedari, tanpa kita sempat merasai keindahannya. Ramadan pergi meninggalkan kita dalam kehausan mengumpul pahala tanpa sempat kita memperbaikinya. Kenapa hal seperti ini sentiasa berlaku kepada kita sedangkan kita telah mempersiapkan diri untuk menghadapi kedatangan Ramadan.

Sedarkah kita dalam mengharungi lapar dan dahaga, kita terlupa bahawa Ramadan menuntut disiplin dan kekuatan yang tinggi dalam membina sahsiah peribadi muslim sejati. Ramadan mengajar kita menjadi seorang yang penuh rendah diri dan sentiasa bersederhana dalam setiap perkara. Ramadan melahirkan rasa kehambaan serta cinta hanya untuk Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Kealpaan kita dalam mencari rahmat Allah sering terjadi tatkala kesibukan untuk berbuka sedangkan Allah Yang Maha Penyayang telah memperuntukkan waktu yang cukup sempurna untuk kita berdoa memohon keampunan kepada-Nya. Basahkan lidah dengan zikrullah dan lapangkan hati dengan istighfar sambil menunggu saat untuk berbuka menjadikan kita tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung kerana di saat itu doa amatlah mustajab. Sentiasalah bersederhana dalam menyediakan hidangan berbuka berbuka puasa. Makanlah sekadar dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga kerana jika berlebihan boleh mendatangkan kemudharatan serta kemalasan pada tubuh badan. Rugilah kita jika ditimpa penyakit malas kerana kita akan kehilangan pahala yang lebih banyak di malam hari.

Marilah kita berusaha agar Ramadan kali ini tidak hanya menyapa bagai angin lalu tetapi membawa kenikmatan dan kerahmatan pahalanya. Orang yang bertuah adalah mereka yang tetap merasai keberkatan Ramadan walaupun Ramadan telah berlalu meninggalkan kita. Mudah-mudahan kita di kalangan umat Muhammad yang berjaya mencari rahmat di denai Ramadan.

Oleh : anibfirdausi.blogspot.com

Monday, August 1, 2011

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN



RAMADAN BULAN KETAKWAAN

Puasa adalah ibadat yang terbaik untuk membentuk keperibadian diri seorang muslim yang cemerlang sama ada dari aspek spiritual mahupun kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadhilat dan hikmah pensyariatannya. Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai orang-orang beriman, kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Definisi takwa bermaksud mengerjakan semua yang diperintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, malah berpuasa dalam erti kata sebenar adalah termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, melaga-lagakan sesama manusia atau melakukan perkara yang boleh menyingung perasaan orang lain.

Selama Ramadan berlabuh, umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk mendisiplinkan diri menjadi insan bertakwa. Selepas tamat latihan, ia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa dengan ikhlas untuk mencapai keredhaan dan ketakwaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda. Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dialah yang berhak memberi seberapa banyak ganjaran pahala kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum sepanjang latihan di bulan Ramadan.


Friday, July 29, 2011

Pelancaran Semarak Ramadan 2011

Panitia Pendidikan Islam hari ini melancarkan Program "Semarak Ramadan 2011" sempena sambutan dan penghayatan Ihya' Ramadan 1432 Hijrah yang bakal menjelang hari Isnin depan.

Program yang dirasmikan oleh Guru Besar, Pn. Hjh. Halimatun Sa'adiah Said itu dimulakan dengan bacaan surah Yasin yang melibatkan semua murid dari tahun 1 hingga tahun 6 SK Bertam Indah dan semua guru bertempat di Pentas Utama.

Menurut Ketua Panitia Pendidikan Islam, Pn. Sharifah Yahya "Semarak Ramadan" adalah satu program rutin yang diadakan setiap tahun bagi menghidupkan amalan mulia sepanjang mengharungi bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya bacaan al-Quran tadarus, tazkirah, kuiz, tayangan video "Jejak Rasul", bacaan NILAM khusus bahan-bahan Pendidikan Islam, majlis berbuka puasa, radio Ramadan dan banyak lagi.

Kesemua aktiviti ini akan diakhiri dengan satu slot kemuncak iaitu Majlis Khatam al-Quran Tadarus yang bakal berlangsung di penghujung bulan puasa nanti.