Monday, August 22, 2011

Menyusur Hari Kemenangan



Hari Raya
merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Hari yang penuh dengan warna warni sebuah perjalanan setelah mujahadah melawan hawa nafsu selama sebulan. Seharusnya dan semestinya rasa syukur ini hadir dalam diri setiap umat Islam. Wajah bersih anak-anak kecil pasti mencuit hati yang melihat. Kegembiraan ini bukan hanya pada wajah anak-anak, tapi juga pada kita, iaitu orang yang lebih mengerti apa itu hari raya.

Malam raya merupakan malam pelepasan bagi sesetengah orang, namun ada juga yang menganggap malam raya sebagai sebuah kesedihan. Hal ini kerana, bulan penuh dengan keberkatan iaitu Ramadan bakal ditinggalkan. Jika diimbas kisah sahabat Nabi SAW, mereka menangis apabila Ramadan bakal berlalu. Mungkin ini Ramadan yang terakhir buat mereka.

Ayuh menyusur malam 1 Syawal dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi . Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud : “… dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (bulan Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur”.

Walaupun kita tidak layak untuk syurgaNYA, namun sanggupkah kita meniti api neraka ALLAH ? Oleh itu, mari rebut peluang ini sebaiknya, tinggalkan sebentar keseronokan dunia demi sebuah hadiah yang tidak ternilai harganya, iaitu SYURGA ALLAH. Ayat ini menunjukkan sesungguhnya kita digalakkan untuk bertakbir memuji kebesaran Ilahi. Mari kita bersama-sama melaungkan takbir di malam raya agar malam keberkatan tersebut akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawasanya kita telah mencintai nabi dengan mengamalkan sunnah baginda.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya. Sungguh banyak nikmat yang DIA berikan pada kita, cuma butanya hati kita yang menyebabkan kita bodoh dalam menghargai pemberian DIA pada kita. Sesungguhnya dalam diri kita terzahir kasih dan sayangNYA. Wallahua’lam.

Oleh : Alwani Abu Bakar

No comments:

Post a Comment