Monday, August 1, 2011
AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN
RAMADAN BULAN KETAKWAAN
Puasa adalah ibadat yang terbaik untuk membentuk keperibadian diri seorang muslim yang cemerlang sama ada dari aspek spiritual mahupun kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadhilat dan hikmah pensyariatannya. Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai orang-orang beriman, kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Definisi takwa bermaksud mengerjakan semua yang diperintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, malah berpuasa dalam erti kata sebenar adalah termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, melaga-lagakan sesama manusia atau melakukan perkara yang boleh menyingung perasaan orang lain.
Selama Ramadan berlabuh, umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk mendisiplinkan diri menjadi insan bertakwa. Selepas tamat latihan, ia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa dengan ikhlas untuk mencapai keredhaan dan ketakwaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda. Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dialah yang berhak memberi seberapa banyak ganjaran pahala kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." – (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum sepanjang latihan di bulan Ramadan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment