Monday, August 8, 2011
Menongkah Ramadan Di Lautan Rahmat
Diam tak diam telah seminggu kita berada dalam madrasah Ramadan. Fasa kerahmatan masih bersisa cuma beberapa hari sahaja lagi. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Ramadan di awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka…”. Saat ini, para ‘abid dan pendamba cinta Ilahi mengerah sepenuh tenaga mengejar ganjaran dari Ilahi. Sebagaimana kita berasa teruja melihat deretan bazaar Ramadan, juga memikirkan menu buat santapan famili tatkala berbuka, begitulah juga kita sepatutnya dalam mengabdikan diri kepada Allah saat ini, seharusnya kita teruja menghitung pahala berganda yang sedang dicatat oleh malaikat. Di minda pula merangka-rangka amalan soleh apa yang yang akan ditambah hari ini agar rahmat yang dijanjikan Allah dilimpahkan kepada kita.
Puasa natijahnya takwa tetapi sejauh manakah Ramadan yang kita lalui selama ini berjaya mengubah dan menjadikan kita orang yang bertakwa ??
Orang bertakwa... mampu mengawal amarahnya.
Orang bertakwa… banyak memberi tanpa mengira saat sempit atau luas.
Orang bertakwa… tidak lama berada dalam dosa, cepat kembali & bertaubat.
Orang bertakwa… senantiasa murah dengan kemaafan.
Orang bertakwa… jiwanya tenang dan terpapar pada wajahnya sebuah ketenangan.
Orang bertakwa… setiap langkahnya sentiasa berhati-hati bimbang jika mengundang kemurkaan Allah.
Persoalannya setelah berpuluh Ramadan kita lalui, apakah sifat yang terbentuk dalam diri ? Setelah puluhan malah ratusan rakaat tarawih yang kita jalani, di manakah nilai takwa yang terlakar di sanubari ? Makin sabarkah atau tidak amarah di hati ?
Ramadan mengajar kita erti kesabaran. Mendidik kita menjadi insan budiman. Membentuk kita menjadi orang bertakwa. Ramadan masih muda dan kita masih punya waktu untuk terus mengkoreksi kualiti Ramadan kali ini. Justeru, dalam fasa kerahmatan yang berbaki, penuhilah ia dengan amal dan bakti. Rebutlah peluang yang ada walau hanya untuk sedetik dua. Ingatlah ! di kala rahmat Ramadan yang tersisa tidak lama menanti, jangan biarkan ia pergi tanpa sempat kita menongkahnya menjadi insan bertakwa yang hakiki.
Oleh :
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment