“ Tak sabar rasanya nak berhari raya..”
“ Berapa pasang baju raya tahun ni ?? ”
“ Raya tahun ni tukar langsir baru tak ? ”
Banyakkan bertakbir, bertahmid, dan bertasbih. Sebagai seorang muslim, apakah cara lain lagi untuk memuji Allah SWT selain melafazkan ucapan mengagungkan dan memuji Allah atas kurniaan rahmatNya yang memberi kudrat dan kekuatan untuk mengerjakan ibadah puasa dan masih memberi sisa umur yang berbaki untuk menyambut hari mulia iaitu Hari Raya. Firman Allah yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185).
Mandi dan memakai pakaian yang baru. Menjadi kebiasaan apabila tibanya hari raya, umat Islam disunatkan untuk memakai pakaian yang indah dan berwangi-wangian. Hal ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Mereka akan berpakaian yang indah tetapi tetap menjaga syariat Islam, iaitu bukan keterlaluan sehingga melanggar syariat Islam. Hari Raya mestilah dijaga daripada unsur-unsur maksiat, berpakaian membuka aurat, pergaulan bebas, dan pelbagai lagi yang boleh membawa kepada dosa. Hari Raya yang sepatutnya mendapat ganjaran besar di sisi Allah menjadi sesuatu yang tidak bernilai malah mendapat dosa. Malanglah bagi orang bersikap demikian.
Menuju ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Aidil Fitri. Amalan utama seorang muslim di pagi Hari Raya ialah solat Aidil Fitri secara berjemaah di masjid atau di surau. Hal ini memberi peluang untuk mendengar khutbah, melafazkan takbir mengagungkan Allah dan bersama mengaminkan doa di pagi hari raya. Amat digalakkan seseorang muslim untuk menggunakan jalan lain ketika pergi dan balik dari solat. Sebab apa? Kerana seorang muslim itu akan bertemu dengan lebih ramai orang untuk saling bermaafan dan mengucapkan kata “tahniah” sesama mereka kerana diberikan kudrat untuk menjalani ibadah puasa sehingga dapat mencapai nikmat berhari raya.
Ziarah-menziarahi sesama saudara. Jadikan Hari Raya sebagai hari bersilaturrahim. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bermesra dan membudayakan amalan ziarah-menziarahi di pagi hari raya untuk menguatkan tali silaturrahim sama ada dari pihak keluarga atau dari saudara-saudara seIslam yang lain. Namun, janganlah dirosakkannya dengan pergaulan bebas tanpa mengira batas aurat, atau bersalaman dengan orang yang bukan mahram yang menjadikan hari raya membuahkan dosa. Hari raya bukan hari yang hanya untuk melafazkan kata, “maaf, zahir dan batin” malah lebih dari itu iaitu menghadirkan seikhlas mungkin kata maaf yang dilafazkan dan bersikap berlapang dada dengan muslim yang lain.
Ayuh kita mencintai Nabi dengan melakukan sunnahnya. Moga syafaatnya akan menjadi asbab kita untuk ke syurga . Insya’ ALLAH
Oleh :
No comments:
Post a Comment