Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Membaca Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadah. Petunjuk ini merupakan sendi utama dimiliki agama Islam sebagai “way of life” bagi penganutnya dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat . Al-Quran dinukilkan secara mutawatir * (berperingkat) dan mushaf yang lazim ditemui hari ini dikenali dikenali sebagai mushaf ‘Uthmani.
Nuzul al-Quran bererti penurunan wahyu kalam suci Yang Maha Agung Allah SWT melalui malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi SAW. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan 13 tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah al-Munawarah. Proses penurunan al-Quran dari Lauh al-Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lingkungan 23 tahun. Firman Allah S.W.T. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pemdeda antara yang hak dan bathil (al-Baqarah : 185).
Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya. Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.
Wahai generasi muda hari ini, Kitab suci al- Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang merangkumi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Apabila al- Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa, maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya, tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja kita berada.
*mutawatir : berperingkat atas sebab penurunannya.
Oleh :
No comments:
Post a Comment