Friday, August 5, 2011
Kurma Juadah Utama Berbuka
Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan bahawa kurma berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765. Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Umat Islam di seluruh dunia menjadikan kurma sebagai juadah untuk berbuka puasa . Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka dan buah ini menjadi menu utama baginda Rasulullah SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman. Daripada Anas :
“ Sesungguhnya Nabi berbuka puasa dengan beberapa ruthab (kurma basah dan segar yang yang baru dipetik dari pokok) sebelum solat Maghrib, kalau tidak ada ruthab, maka beliau
berbuka dengan tamar (kurma kering), jika tidak ada, maka dengan meneguk beberapa tegukan air putih. ” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan. Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji atau umrah di Mekah.
Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai etnik dunia yang dihidangkan dalam pelbagai resipi dan cara yang mampu menambat selera sesiapa yang melihatnya. Dengan adanya ciptaan baru dalam dunia kulinari, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment