Wednesday, August 10, 2011

Puasa VS Solat : Yang Mana Perlu Diutamakan ?



Suatu hari seorang anak kecil bertanya pada ibunya .” Ibu, Allah puasa tak ? ” Tanya si anak. Si ibu hanya tersenyum mendengar soalan si anak. “ Tak.. Allah bukan manusia jadi mana mungkin Allah berpuasa ” jawab si ibu. Anak yang masih tidak berpuas hati bertanya lagi. ” Allah suruh kita puasa tapi Allah tak puasa tak pa pun ”. Si ibu yang memahami menjawab soalan si anak. ” Sekarang Aiman bayangkan yang Aiman sudah berjaya mencipta sebuah robot mainan yang boleh bergerak tapi robot ini tidak boleh terkena air. Kalau kena air dia akan rosak. Aiman nak bagi kena air tak robot ni?” Tanya si ibu. “ Mestilah tak boleh kena air. Nanti rosak “ jawab si anak. “ Samalah juga dengan Allah yang mencipta manusia. Allah tahu yang manusia akan menjadi sihat dan kuat jika perutnya dibiarkan rehat di siang hari selama sebulan. Bila kita berpuasa semua enjin dalam perut akan berehat . Ini akan menjadikan kita kuat dan sihat. Nak tak jadi sihat?” Tanya si ibu. Si anak yang mula memahami tersenyum sambil berkata “Ooooo… baru Aiman faham”.


Dialog ini mengingatkan kita bahawa penerapan ilmu dalam mengajar anak melakukan sesuatu perkara mestilah diberikan dengan penuh pemahaman. Amalan yang dilakukan hanya dengan ikutan tanpa penjelasan hanya akan menyebabkan anak-anak tidak mengetahui mengapa mereka perlu melakukan sesuatu perkara tersebut. Penjelasan yang berhikmah mampu merungkai persoalan yang berselirat di dalam kepala anak-anak kecil. Tahukah kita pengkaji barat telah membuat kajian bahawa perut manusia perlu dikosongkan selama sebulan pada setiap tahun bagi mengekalkan kesihatan seseorang itu. Alangkah indahnya Islam kerana sememang dalam 1 tahun kita akan berpuasa selama sebulan. Allah Maha Pencipta maka Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Ibadah seperti solat dan puasa adalah ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap yang bernama muslim. Jika ditanya mana yang lebih utama antara solat dan puasa pastinya ibadah solat yang paling utama. Malangnya, ibadah solat seperti dipandang sepi oleh para ibubapa bilamana tiba bulan Ramadan. Ramai di kalangan ibu bapa yang memaksa anak belajar berpuasa tetapi tidak menyuruh anak-anak untuk menunaikan solat. Ada yang sanggup memberi upah berbentuk wang jika si anak berjaya berpuasa penuh. Sedarkah kita bahawa solat tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan sakit sekalipun tetap diwajibkan solat. Ibu bapa yang berjaya mendorong anak-anak yang berpuasa untuk menunaikan solat adalah ibubapa yang cukup cemerlang dalam mendidik anak-anaknya agar berpegang teguh dengan kedua-dua ibadah wajib ini.

Oleh itu, adalah menjadi harapan kita agar anak-anak yang kita didik dapat menunaikan solat sekalipun dalam keadaan yang letih akibat berpuasa. Solat dapat menyegarkan tubuh yang lemah kerana puasa. Manakala puasa dapat mendidik kita untuk menjadi lebih bersabar dan sentiasa bertindak mengikut landasan akal fikiran tanpa dorongan hawa nafsu.

Oleh : anibfirdausi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment