Wednesday, August 3, 2011

Mencari Rahmat Di Denai Ramadan



Ramadan
bulan mulia, bulan kerahmatan dan keberkatan. Umum mengetahui bahawa Ramadan adalah suatu bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan dan kenikmatan dalam beribadah. Tetapi sejauhmanakah kita umat Muhammad dapat merealisasikan keistimewaan beribadah dalam bulan Ramadan. Saban tahun, Ramadan datang dan pergi begitu sahaja tanpa kita sedari, tanpa kita sempat merasai keindahannya. Ramadan pergi meninggalkan kita dalam kehausan mengumpul pahala tanpa sempat kita memperbaikinya. Kenapa hal seperti ini sentiasa berlaku kepada kita sedangkan kita telah mempersiapkan diri untuk menghadapi kedatangan Ramadan.

Sedarkah kita dalam mengharungi lapar dan dahaga, kita terlupa bahawa Ramadan menuntut disiplin dan kekuatan yang tinggi dalam membina sahsiah peribadi muslim sejati. Ramadan mengajar kita menjadi seorang yang penuh rendah diri dan sentiasa bersederhana dalam setiap perkara. Ramadan melahirkan rasa kehambaan serta cinta hanya untuk Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Kealpaan kita dalam mencari rahmat Allah sering terjadi tatkala kesibukan untuk berbuka sedangkan Allah Yang Maha Penyayang telah memperuntukkan waktu yang cukup sempurna untuk kita berdoa memohon keampunan kepada-Nya. Basahkan lidah dengan zikrullah dan lapangkan hati dengan istighfar sambil menunggu saat untuk berbuka menjadikan kita tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung kerana di saat itu doa amatlah mustajab. Sentiasalah bersederhana dalam menyediakan hidangan berbuka berbuka puasa. Makanlah sekadar dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga kerana jika berlebihan boleh mendatangkan kemudharatan serta kemalasan pada tubuh badan. Rugilah kita jika ditimpa penyakit malas kerana kita akan kehilangan pahala yang lebih banyak di malam hari.

Marilah kita berusaha agar Ramadan kali ini tidak hanya menyapa bagai angin lalu tetapi membawa kenikmatan dan kerahmatan pahalanya. Orang yang bertuah adalah mereka yang tetap merasai keberkatan Ramadan walaupun Ramadan telah berlalu meninggalkan kita. Mudah-mudahan kita di kalangan umat Muhammad yang berjaya mencari rahmat di denai Ramadan.

Oleh : anibfirdausi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment